Pas: Majlis Fatwa jangan jadi alat kerajaan - pakdin.my

KOTA BHARU – Majlis Fatwa Kebangsaan perlu memainkan peranan dalam memartabatkan agama dan bukannya menjadi alat kepada kerajaan untuk menyekat perjuangan Islam.

Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud berkata, ahli Majlis Fatwa yang sepatutnya bersyukur kerana ada pihak seperti Pas memperjuangkan Islam di negara ini berpihak kepada kerajaan untuk menentang usaha Pas.

“Sudahlah tidak memberi tahu perkara sebenar kepada kerajaan, kita yang tolong perjuangkan Islam ini pula yang ditentang. Sepatutnya mereka bersyukur kerana apa yang mereka tidak berani buat, kita buat.

“Jangan jadi alat kepada pemerintah yang tidak Islamik sehingga sanggup mengeluarkan fatwa tanpa merujuk kepada kedua belah pihak,” katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini, hari ini.

Majlis ringkas turut diadakan sebagai menyatakan protes terhadap kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang menuduh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘bapa kafir’ dan akhbar harian yang menyiarkan kenyataan tersebut.

Nasaruddin berkata, ketika Selangor ditadbir Barisan Nasional suatu masa dahulu, Mufti Datuk Ishak Baharon dipecat hanya kerana mempertahankan tindakan jabatan agama Islam melarang orang Melayu beragama Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

“Kenapa Majlis Fatwa ketika itu diam membisu? Kenapa tidak mempertahankan tindakan jabatan agama? Adakah mereka tidak tahu haram hukumnya orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik?

“Bagaimana pula dengan tindakan kerajaan merampas royalti minyak Kelantan, kenapa Majlis Fatwa tidak berani bersuara dalam hal ini? Kenapa tak berani kata haram apabila kerajaan meluluskan lessen judi?” katanya.

Beliau turut kecewa kerana Majlis Fatwa tidak berbuat apa-apa apabila akhbar sewenang-wenang menyiarkan gambar-gambar berunsur seks yang dikatakan membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

“Saksi untuk kes zina ialah empat orang saksi, bukan empat filem, video tidak boleh jadi ‘saksi’ dalam perundangan Islam. Penyebaran gambar seperti itu ada unsur fitnah dan mereka pun tahu ALLAH menyediakan azab yang pedih untuk mereka yang suka menyebar fitnah,” katanya.

Nasaruddin kesal kerana akhbar-akhbar yang menyiarkan gambar tidak senohoh itu juga digunakan pelajar di sekolah-sekolah rendah di negara ini.

“Bagamana kita nak jawab apabila pelajar atau anak-anak kita sendiri bertanya apa yang sedang dilakukan dua individu yang dipaparkan? Inilah kerja Umno, sebar fitnah untuk menutup kelemahan mereka selepas satu persatu isu didedahkan kepada rakyat,” katanya.

UTAMABERITAPas: Majlis Fatwa jangan jadi alat kerajaan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium