Bismillahirrahmanirrahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana atas limpah kurnia-Nya saya dapat berpeluang sekali lagi berdiri di dewan yang mulia ini. Kali ini, bagi membahaskan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Tuan Yang Dipertua,
Pada asasnya, matlamat dan sasaran pelan RMK-12 adalah usaha yang terpuji. Syabas saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri, kerajaan termasuk penjawat-penjawat awam atas pembentangan rancangan yang komprehensif dengan sasaran-sasaran yang murni ini.
Tuan Yang Dipertua,
Hakikatnya, kita sudah terlewat setahun membentangkan RMK-12 yang merangkumi tempoh tahun 2021 hingga 2025 memandangkan kita kini sudah sampai ke penghujung tahun 2021. Ini disebabkan ketidaktentuan yang berpunca dari pandemik Covid-19 yang belum selesai. Oleh itu, saya berpandangan ada keperluan bagi RMK-12 disemak semula setahun kemudian supaya ianya lebih tepat dan berdasarkan kepada keadaan sebenar semasa itu.
Untuk makluman dewan yang mulia ini, purata pendapatan isi rumah seperti yang dinilai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah RM3,686 sebulan pada tahun 2007. Namun ia berjaya dinaikkan hampir sekali ganda ke RM6,958 sebulan pada tahun 2016, susulan pertumbuhan ekonomi yang mantap dalam tempoh tersebut. Akan tetapi, kadar pertumbuhan pendapatan rakyat telah jauh menyusut dan hanya naik ke RM7,089 sebulan pada tahun 2019 iaitu kenaikan 1.8% dalam tempoh 3 tahun dari 2017 walaupun pertumbuhan ekonomi ketika itu begitu mantap.
Walau bagaimanapun, pada hemat saya, sasaran purata pendapatan RM10,065 sebulan seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semalam boleh dicapai menjelang akhir RMK-12 pada tahun 2025 sekiranya kerajaan hari ini bertindak dengan lebih cekap, berani dan inovatif.
Tuan Yang Dipertua,
Asas bagi RMK-12 adalah berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dengan matlamat utama untuk mengurangkan jurang pendapatan antara semua rakyat dengan meningkatkan pendapatan golongan B40 dan M40.
Sebenarnya, matlamat ini juga adalah antara keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Jurang antara pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini melebar pada 2019 buat kali pertama sejak tahun 2004, demikian mengikut laporan terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pekali Gini (Gini Coefficient) adalah kaedah paling popular untuk mengukur ketaksamarataan pendapatan, yang mana nilai Pekali Gini berada di antara 0 dan 1. Semakin kecil nilainya semakin saksama agihan pendapatan.
Pekali Gini negara telah menurun secara konsisten dari 0.441 pada tahun 2009 ke 0.399 pada akhir tahun 2016. Bagaimanapun, angka ini telah menaik semula pada tahun 2019 di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), iaitu kenaikan sejak tahun 2004.
Di bawah kerajaan BN, tempoh sebelum PRU-14 ialah tempoh Pekali Gini menjunam paling tajam atau paling ketara apabila dasar-dasar seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan-bantuan lain seperti bayaran bulanan kepada nelayan, bantuan persekolahan dan bantuan antara musim bagi pekebun kecil dan pesawah padi, diperkenalkan.
Disamping itu, kadar pelaburan asing yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia berjaya mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. Manakala, pelaksanaan Sistem Percukaian GST memberi kesan lebih besar kepada golongan kaya dan ekonomi gelap yang berbelanja lebih banyak. Mereka tidak lagi mudah untuk mengelak cukai seperti sistem percukaian SST.
Malangnya, akibat dasar-dasar kerajaan selepas PRU-14 untuk mengurang dan memansuhkan pelbagai bantuan bagi golongan berpendapatan rendah, dividen serta hibah tabung-tabung simpanan rakyat untuk tiga tahun berturut-turut mencatatkan rekod paling rendah dalam sejarah. Selain itu, menggantikan sistem cukai GST dengan SST menyebabkan pertumbuhan pendapatan golongan paling kaya (T20) menjadi lebih tinggi berbanding golongan M40 dan B40 buat kali pertama sejak 10 tahun lalu.
Akibatnya kesan daripada itu, Pekali Gini naik semula dan mencerminkan jurang pendapatan semakin melebar.
Memandangkan Pekali Gini ini pernah turun dari 0.441 ke 0.399 dalam masa 9 tahun sebelum naik semula selepas PRU14, adalah tidak mustahil bagi sasaran Pekali Gini pada 0.387 di bawah RMK-12 ditepati.
Namun kita perlu meneruskan strategi-strategi dan langkah-langkah utama yang telah terbukti berjaya – iaitu menaikkan pendapatan dan bantuan Rakyat B40 dan M40, memastikan pertumbuhan ekonomi negara setiap tahun adalah mantap serta sistem percukaian dan subsidi yang lebih adil dan telus.
Tuan Yang Dipertua,
Ucapan saya yang menyokong pembentangan RMK-12 ini adalah berdasarkan kepada 6 teras.
Teras pertama yang ingin saya cadangkan ialah daya tarikan dan kedinamikan Malaysia.
Pada tahun 2008, kadar cukai korporat Malaysia adalah kedua paling rendah di rantau ASEAN.
– Singapura 17%
– Malaysia 28%
– Vietnam 28%
– Thailand 30%
– Indonesia 30%
Malahan kadar cukai korporat di ekonomi terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat (USA) lagi tinggi, iaitu 35%.
Tetapi, pada tahun 2020, kadar cukai korporat Malaysia menjadi paling tinggi di rantau ASEAN. Malah, USA pula menjadi lebih rendah berbanding kita.
– Singapura 17%
– Vietnam 20%
– Thailand 20%
– USA 21%
– Indonesia 22%
– Malaysia 24%
Tuan Yang Dipertua,
Hasutan-hasutan bermotif politik yang membawa kepada pemansuhan sistem cukai GST, telah menghalang hasrat rancangan kerajaan BN dahulu untuk terus mengurangkan kadar cukai korporat Malaysia secara berperingkat-peringkat sehingga ke 17% agar kita lebih kompetitif berbanding negara-negara jiran.
Malangnya, negara-negara jiran kita yang kesemuanya melaksanakan cukai GST telah berjaya menurunkan cukai korporat mereka ke paras lebih rendah daripada negara kita, menjadikan Malaysia sebuah negara dengan cukai perniagaan paling tinggi di ASEAN.
Seperti sedia maklum, sistem percukaian GST adalah lebih saksama dan progresif. Semakin banyak yang kita belanja, semakin banyak yang kita bayar. Hasil daripada cukai GST ini mampu memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan peribadi.
Tuan Yang Dipertua,
Antara pertimbangan utama bagi pelabur asing ketika memilih destinasi pelaburan negara untuk membuat pelaburan iaitu:
1) saiz pasaran domestik
2) infrastruktur negara
3) kadar cukai korporat.
Dari segi infrastruktur negara, Malaysia masih mantap dengan projek-projek infra-rakyat yang masih berjalan dan semakin hampir selesai yang akan memastikan kelebihan infrastruktur negara terjamin.
Tetapi adakah pelabur-pelabur asing ini memilih Malaysia memandangkan saiz pasaran domestik kita yang lebih kecil tetapi pada masa yang sama cukai korporat kita pula tertinggi di kalangan negara-negara ASEAN ketika ini. Akibat faktor ini, syarikat-syarikat Malaysia pula mungkin lebih tertarik untuk melabur di negara jiran berbanding di dalam negara sendiri.
Selain memberi ruang untuk menurunkan cukai korporat dan cukai peribadi, sistem GST yang dipadankan dengan pakej bantuan rakyat sebenarnya memainkan peranan yang amat penting untuk mengurangkan jurang pendapatan.
Ini berlawanan dengan propaganda yang telah menyebabkan sebahagian daripada rakyat termakan hasutan kononnya GST lebih memangsakan pendapatan rendah dan menyebabkan kenaikan harga barang-barangan. Hakikatnya adalah sebaliknya GST menyumbang kepada fiskal kerajaan dan lebihan pendapatan hasil kerajaan itu dipulangkan kepada rakyat terutama sekali golongan B40 dan M40. Disamping itu, apabila hasil negara meningkat saya berkemampuan untuk mengumumkan satu Kenaikan Gaji Tahunan Khas (KGTK) untuk semua penjawat awam pada tahun 2018 bererti pada tahun itu sepatutnya penjawat awam menerima 2 kali kenaikan gaji tahunan.
Setelah 3 tahun dimansuhkan, persepsi sebahagian rakyat bahawa GST merupakan punca utama kenaikan harga barang terbukti tidak benar dan meleset sama sekali apabila harga barangan asas naik lagi ketara setelah SST menggantikan GST.
Perlu disedari GST adalah cukai penggunaan ataupun “consumption tax”. Lagi tinggi perbelanjaan seseorang, lagi tinggi jumlah bayaran GST.
Golongan kaya dan berkemampuan yang akan berbelanja lebih, akan membayar lebih GST.
GST juga akan mensasarkan ekonomi gelap dengan saiznya sebesar RM300 bilion setahun yang sebelum ini terlepas dari membayar apa-apa cukai. Dengan GST, saiz ekonomi gelap dapat dikuncupkan, yakni dianggarkan dari 25% KDNK kepada 10%.
Dengan ini, kutipan-kutipan hasil GST ini mampu diagihkan kepada golongan B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding nilai GST yang dibayar mereka.
Sebab itu, kita perlu melaksanakan semula sistem GST secepat mungkin apabila negara pulih dari Covid sekiranya ingin mencapai matlamat mengurangkan jurang pendapatan, matlamat menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.
Tuan Yang Dipertua,
Pada pendapat saya, selain usaha membina semula hubungan antarabangsa dengan ekonomi-ekonomi besar yang telah terkesan selepas PRU-14, Malaysia perlu menarik semula perhatian dan minat dunia, dengan izin ‘Malaysia needs to excite the world again’.
Visi, misi dan projek seperti HSR yang bakal menghubungkan 2 ekonomi terbesar ASEAN perlu disambung semula mengikut konsep dan perancangan asal. Di samping memberi nafas baru kepada koridor selatan semenanjung seperti Iskandar Malaysia, Batu Pahat, Muar, Melaka, Seremban dan sebagainya. Semasa pembinaan projek HSR dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung. Selepas projek HSR siap beroperasi, ia mampu memberi keuntungan ekonomi sekitar USD1.6 bilion setahun mengikut kaji selidik Institute of Developing Economies, Japan dengan syarat landasan perlu dihubungkan dengan Singapura. Menggantikan projek HSR dari Singapura ke Kuala Lumpur kepada KLIA ke Johor Bahru akan menjadikan projek ini tidak ‘viable’ dan akhirnya merugikan negara apabila terpaksa membayar subsidi berbilion-berbilion.
Mengembalikan semula projek HSR kepada perancangan asal juga dapat menghidupkan semula projek Bandar Malaysia yang bernilai RM140 bilion dari segi GDV (Gross Development Value). Saya mencadangkan tanggungjawab dan pemilikan projek pembangunan diberikan kepada tabung-tabung seperti KWSP dan PNB. Kedua-dua badan ini terbukti dapat bekerjasama dengan baik sehingga menjayakan pembangunan projek Battersea di London. Projek ini juga boleh dijayakan secara usahasama dengan pelabur Singapura memandangkan HSR berhubung dengan negara itu jika KWSP dan PNB berpendapat ianya memberi kelebihan. Sekiranya ini berlaku, saya cadang ianya dijenamakan semula sebagai Bandar ASEAN supaya ianya meletakkan Malaysia menjadi pusat kepada ASEAN dalam usaha menarik perhatian komuniti antarabangsa.
Tuan Yang Dipertua,
Saya rasa gembira apabila YAB Perdana Menteri turut memberi perhatian kepada pembangunan Sabah dan Sarawak dalam RMK-12 dengan pertumbuhan ekonomi yang diunjur lebih tinggi berbanding purata Malaysia. Namun begitu, saya mencadangkan supaya penekanan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak ini dirangkumkan di bawah konsep ‘Pandang ke Borneo’ yang boleh difahami rakyat serta menarik minat pelabur dunia.
Tuan Yang Dipertua,
Teras kedua saya cadangkan pada hari ini ialah membantu rakyat membina kekayaan. Perlu saya jelaskan bahawa usaha ini terbahagi kepada 3 komponen:
i. Pertama, menaikkan pendapatan rakyat melalui ‘active income’,
ii. Kedua, menambah ‘passive income’ dan;
iii. Ketiga, meningkatkan ‘disposable income’ dengan mengurangkan kos sara hidup bulanan.
Selain mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi melalui pertumbuhan ekonomi, dan up-skilling dan re-skilling yang telah digariskan di bawah RMK-12 yang merupakan pendapatan aktif, kita juga perlu membantu rakyat mencipta pendapatan pasif melalui pulangan pelaburan dan simpanan.
Di sini saya ingin mengulangi saranan yang saya lontarkan 2 minggu lalu di dalam dewan yang mulia ini. Untuk mengambil kesempatan ketika pasaran saham Malaysia sedang antara paling corot dalam dunia pada tahun ini.
Seperti dimaklumkan oleh penganalisis pelaburan, saya percaya, pasaran saham Malaysia berada di bawah nilai (under valued) berbanding negara-negara lain ketika ini; sementara harga komoditi dan eksport barangan pembuatan negara masih mengukuh.
Ini juga bermaksud, kita rakyat Malaysia berpeluang untuk sama terlibat dalam pemulihan sektor ekonomi negara kita.
Pada ketika ini harga saham masih berada pada paras yang rendah, ia bermaksud ada banyak syarikat membayar dividen yang lebih tinggi berbanding caj perkhidmatan sebenar.
Misalnya, kadar pulangan Simpanan Tetap (FD) cuma 1.9% setahun, manakala kebanyakan saham-saham “bluechip” seperti Tenaga (4.1%), Maybank (5.6%) dan Top Glove (5.7%) diramal mampu membayar dividen yang jauh lebih tinggi.
Oleh itu, saya mencadangkan agar bank-bank memperkenalkan produk-produk mesra pembelian saham untuk membiayai sehingga 70% pembelian, dengan hanya kadar caj perkhidmatan sebanyak 3% setahun – ini untuk setiap rakyat yang berhasrat melabur dalam senarai saham di Bursa Malaysia, yang dibenarkan dan disyorkan oleh bank dan penganalisis pasaran.
Ini samalah seperti skim pinjaman ASB yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi.
Rakyat mampu mencipta kekayaan secara jangka masa panjang apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos pinjaman bank.
Bagi menggalakkan rakyat menyimpan dan menjana pendapatan pasif, saya juga mencadangkan had maksimum pelaburan ASB dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM400,000.
Maka, dengan ini, jika seseorang pelabur membuat pelaburan maksimum pada kadar 6% setahun, ini membolehkan pencarum memperoleh pendapatan pasif sehingga RM2,000 sebulan.
Bagi mencapai matlamat ini, skim pinjaman pembiayaan ASB dan ASM sedia ada, dari bank-bank perlu ditambah baik dengan mengambil kesempatan kadar caj perkhidmatan sebenar bank ketika ini yang paling rendah dalam sejarah, supaya lebih ramai rakyat mampu membuat pelaburan sehingga ke tahap maksima.
Seperti kita sedia maklum, berjuta-juta rakyat terpaksa mengeluarkan caruman dari akaun KWSP mereka pada tempoh pandemik ini melalui skim-skim seperti i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra yang telah saya perjuangkan bersungguh-sungguh.
Seandainya kerajaan memenuhi tuntutan rakyat untuk menaikkan pengeluaran maksima i-Citra dari RM5,000 kepada RM10,000, maka tanggungjawab kerajaan adalah untuk mencari jalan memulih dan memastikan agar pencarum dengan baki simpanan yang rendah, dapat menambah simpanan mereka dengan cepat. Ini supaya apabila mereka bersara nanti, simpanan di dalam Akaun 1 mencukupi.
Tuan Yang Dipertua,
Seperti yang saya pernah bangkitkan pada perbahasan bajet 2021 tahun lepas, perkara ini boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu:
Pertama, pasca Covid-19, kerajaan boleh membantu KWSP untuk meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek lebih lumayan kepada KWSP. Contohnya, sebelum ini projek KWASA Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek Battersea di United Kingdom serta pemilikan 49% di dalam syarikat PLUS. Bukan diberikan kepada kroni.
Oleh itu, Tuan Yang Dipertua, ini selari dengan cadangan saya sebentar tadi bahawa projek Bandar Malaysia ataupun cadangan nama baru Bandar ASEAN diberi kepada KWSP dan PNB.
Kedua, menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum.
Ketiga, mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat dengan izin “multi-tier dividend structure” di mana baki simpanan yang lebih rendah akan menerima dividen yang lebih tinggi, supaya pembahagian keuntungan KWSP akan lebih memihak kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah.
Tuan Yang Dipertua,
Selain daripada pendapatan aktif dan pasif, kita perlu memberi perhatian kepada cara-cara untuk meningkatkan ‘disposable income’ atau pendapatan boleh guna rakyat. Tidak bermakna jika pendapatan meningkat tetapi kos sara hidup turut sama meningkat.
Program-program digemari rakyat umpamanya UTC, RTC, Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan lain-lain perlu diperkenalkan semula, ditambahbaik dengan melanjutkan waktu operasi dan diperluaskan. Kalau nak dijenamakan semula pun boleh. Sebagai contoh Klinik 1Malaysia boleh diperkenalkan sebagai Klinik Keluarga Malaysia.
Selain itu, projek infra-rakyat pengangkutan awam mampu mengurangkan kos pengangkutan bulanan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan produktiviti rakyat. Sebab itu, usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam yang moden, efisien, mampu-guna dan diyakini atau ‘reliable’ perlu diteruskan.
Tuan Yang Dipertua,
Teras ketiga pula adalah keperluan kerajaan untuk mempermudahkan urusniaga.
Beberapa malam lepas, saya berkesempatan bertemu beberapa perwakilan asing di negara ini, di mana salah seorang daripada mereka telah memaklumkan kepada saya, proses untuk keluar dari lapangan terbang KLIA telah mengambil masa selama 3 jam akibat terlalu banyak borang yang berbeza, yang perlu diisi serta koordinasi antara jabatan kerajaan yang kurang lancar. Pada masa yang sama, pengalaman beliau di salah sebuah negara lain di Timur Tengah, hanya memakan masa 15 minit sahaja.
Saya mengalu-alukan penegasan oleh YAB Perdana Menteri, yang memberi keutamaan untuk mengatasi karenah birokrasi dan mempermudahkan proses untuk mendapatkan kelulusan bagi memulakan perniagaan. Ini selari dengan hala tuju negara-negara lain di dunia untuk memulihkan ekonomi pada zaman ini.
Malaysia juga perlu lebih pro aktif berbanding negara lain dengan memulakan kerjasama antara kerajaan pusat, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan untuk mengeluarkan kelulusan awal memulakan perniagaan, dengan izin ‘pre approval for them to start business’.
Ini adalah untuk mempercepatkan perniagaan dan pelaburan dapat beroperasi secepat mungkin, sebagai salah satu usaha memulihkan ekonomi. Kaedah ini boleh diuji cuba selama setahun dan sekiranya berkesan boleh menjadi dasar atau polisi rasmi.
Saya juga menyokong titah saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, berhubung skim ‘Malaysia Rumah Keduaku’ (MM2H) untuk mengekalkan syarat bagi orang asing yang sudahpun diluluskan dan telah lama berada dalam Malaysia. Pertukaran syarat bagi golongan ini yang sudah berada di Malaysia mampu menyebabkan pengeluaran dana dan pergolakan sektor hartanah negara yang tidak diingini pada tempoh pemulihan ini.
Walau bagaimanapun, saya bersetuju pembaharuan syarat-syarat bagi pemohonan baharu MM2H dapat diperketatkan dan dibuat secara berperingkat, dan selari dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan di negara-negara lain di rantau ini supaya tawaran kita lebih kompetitif.
Teras keempat saya ialah negara perlu memanfaatkan sepenuhnya projek-projek infra-rakyat sedia ada atau hampir siap.
Seperti yang diulas oleh YAB Perdana Menteri semalam, beberapa projek infra-rakyat berskala besar seperti Jalan Raya CSR, Lebuh Raya Kuala Krai – Kota Bharu, Lebuh Raya Pantai Barat, Lebuh Raya Pan-Borneo dijangka siap dalam tempoh RMK-12, ini bakal memberi kesan sampingan positif dan mencipta lebih banyak pekerjaan untuk masyarakat setempat.
Ini bukan sahaja memudahkan, dengan izin Tuan Yang Dipertua ‘connectivity’ tetapi juga memberi faedah sampingan seperti kenaikan nilai tanah, membina kawasan perumahan baharu atau bertani dengan cara yang lebih moden.
Kawasan-kawasan yang sebelum ni amat sukar dihubungkan, akan menjadi kawasan-kawasan yang mampu menarik pelbagai peluang perniagaan untuk penduduk setempat. Justeru, jika kerajaan pusat dan kerajaan negeri merancang dengan komprehensif dan terancang, saya percaya banyak pelabur dalam dan luar negeri akan berminat untuk mengambil bahagian.
Berdasarkan objektif yang serupa, saya juga mencadangkan supaya projek pertanian berasaskan makanan, seperti konsep ala felda boleh diwujudkan di atas tanah-tanah milik kerajaan negeri sepanjang laluan infra-rakyat ini. Ini sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan, perumahan dan perniagaan. Usaha ini juga boleh menambah kepada keselamatan makanan, dengan izin ‘food security’ negara.
Memandangkan sistem kewangan yang moden termasuk kebangkitan ‘crypto currency’ dan ‘fintech’ yang semakin penting dalam ekonomi global dan pembangunan negara, kerajaan juga perlu memanfaatkan sepenuhnya projek TRX yang visi asalnya adalah sebagai pusat kewangan serantau. Syarikat-syarikat antarabangsa seperti HSBC, Prudential sudah bertapak di sana. Usaha perlu dipergiatkan lagi supaya visi asalnya tercapai.
Tuan Yang Dipertua,
Teras kelima saya ialah komitmen negara kepada keperluan prinsip ESG iaitu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus yang semakin penting. Perkara ini telah diperakui oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan RMK-12 semalam dan saya menyokong penuh usaha-usaha yang digariskan kerajaan.
Bagaimanapun, saya masih kurang berpuas hati apabila Malaysia masih ketinggalan dalam penggunaan dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV), walaupun kita antara negara terawal menceburi industri ini. Sejak beberapa tahun lalu, pelaburan bagi industri Electric Vehicle atau EV semakin mengalir ke negara-negara jiran. Keadaan ini tidak boleh berterusan kerana kebanyakan negara dalam dunia telah mensasarkan tempoh peralihan kenderaan sedia ada kepada EV.
Sedar atau tidak, Malaysia berjaya mewujudkan kilang besi keluli terbesar di ASEAN di MCKIP Kuantan, Pahang walaupun Malaysia bukan pengeluar bijih besi utama. Malaysia juga berjaya mewujudkan kilang aluminium terbesar di ASEAN di Sarawak walaupun Malaysia bukan pengeluar utama bijih bauksit. Malaysia juga adalah antara hub global industri elektronik, dan kita juga berkebolehan menghasilkan tayar – maka, oleh sebab itu, tiada alasan bagi Malaysia ketinggalan dalam sektor EV.
Malaysia sebenarnya adalah pengimport besar bagi petrol dan diesel. Walau bagaimanapun, kita adalah antara pengeluar terbesar gas asli. Ini bermakna negara akan untung sebab gas asli boleh digunakan untuk menjana elektrik dan kos mengimport petrol dan diesel dapat dijimatkan sekiranya Malaysia lebih awal beralih ke EV seterusnya dapat membantu mengatasi pencemaran udara. Saya sarankan negara untuk menggandakan usaha supaya pengeluaran dan penggunaan EV dalam negara dapat menyamai dan melepasi pencapaian negara-negara lain.
Tuan Yang Dipertua,
Teras terakhir ialah kecekapan dan kestabilan kerajaan.
Pengajaran yang boleh kita ambil sejak PRU-14, keperluan untuk memiliki kerajaan yang cekap, tahu buat kerja, berorientasikan Indeks Petunjuk Utama (KPI), mengutamakan kebajikan rakyat adalah lebih penting berbanding dengan berusaha sahaja tanpa pencapaian. Hasil dan pencapaian adalah paling utama.
Sehubungan dengan itu, adalah penting kita mempunyai sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh sekiranya kita berniat untuk mencapai sasaran RMK-12.
Sebagai penutup, sesungguhnya sesuatu rancangan bukan hanya kelihatan cantik atas kertas sahaja. Yang paling penting adalah pelaksanaan atau execution serta pencapaian rancangan tersebut.
Kerajaan perlu memastikan dan menjawab kepada rakyat segala prestasi pelaksanaan berdasarkan sasaran RMK-12. Sehubungan dengan ini, kaedah yang terbaik untuk mengukur pencapaian ialah kaedah KPI atau Key Performance Index, yang boleh mengukur pencapaian ke arah setiap sasaran sekurang-kurangnya setiap 6 bulan dan pencapaian keseluruhannya wajar dibentangkan kepada rakyat sebagai ‘report card’ tahunan kerajaan.
Kita tidak mahu hanya sekadar usaha atau output semata-mata, kita perlu outcome atau keberhasilan dan pencapaian.
Kita tidak mampu gagal lagi !
Rakyat menuntut pembelaan dan jaminan masa depan bahawa hari esok adalah lebih baik dari hari ini.
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon menyokong dan mengajak semua rakyat bersama-sama menjayakan RMK-12 ini.
TEKS UCAPAN
YB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
AHLI PARLIMEN PEKAN
PERBAHASAN PEMBENTANGAN
RANCANGAN MALAYSIA KE-12 (RMK-12)
28 SEPTEMBER 2021 (SELASA)