Utama NASIONAL BORNEO Wanita 22 tahun maut dibaham buaya ketika mandi sungai

Wanita 22 tahun maut dibaham buaya ketika mandi sungai

TAWAU – Seorang wanita maut dibaham buaya dalam kejadian di sungai di Kampung Serudung Laut, Kalabakan, di sini, pada Sabtu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Fosanih Nansel, 22, sedang mandi sendirian di sungai berkenaan sebelum dilaporkan hilang dipercayai akibat dibaham buaya oleh ahli keluarganya selepas tidak pulang ke rumah.

Mayat Fosanih kemudian ditemui kira-kira jam 8 pagi Ahad oleh orang awam yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.19 malam Sabtu.

Katanya, seramai lima anggota bomba BBP Tawau bersama empat anggota Pasukan Sukarela Bomba (PBS) Kalabakan dikejar ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 128 kilometer dari balai berkenaan.

“Sebaik tiba, didapati memang berlaku kejadian seorang mangsa dibaham buaya dan maklumat segera diambil daripada ahli keluarga, namun operasi SAR tidak dapat dilakukan ketika itu kerana mengambil kira risiko di kawasan terbabit.

“SAR pada hari kedua dijalankan hari ini (Ahad) dan mayat mangsa dengan kesan gigitan pada anggota badan dipercayai akibat dibaham buaya ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi SAR ditamatkan pada jam 10.27 pagi,” katanya.

Exit mobile version