Ahli UMNO jangan jadi seperti ‘ketam dalam bakul’ – Mahdzir Khalid - pakdin.my

Ahli UMNO diingatkan supaya tidak menjadi seperti ‘ketam dalam bakul’ atau bersikap suka menjatuhkan antara satu sama lain, terutama apabila ada rakan yang ke hadapan, dalam usaha meneruskan perjuangan parti, kata Naib Presidennya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menggunakan konotasi sekumpulan ketam apabila berada di dalam bakul cuba menarik dan menjatuhkan rakan yang cuba keluar dari bakul yang membelenggu mereka, beliau berkata perkara itu sepatutnya tidak berlaku dalam UMNO jika mahu parti tersebut terus kekal relevan.

“Jangan jadi macam ketam dalam bakul, satu nak naik yang lain tarik sampai jatuh sampai tidak ada yang boleh keluar. Elakkanlah sikap seumpama itu di dalam UMNO, marilah kita sama-sama bersolidariti untuk meneruskan agenda perjuangan parti.

“Dari Perlis sampai ke Sabah, UMNO sebuah parti yang ada strukturnya di semua peringkat. Kita kena terus kuatkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti, kekuatan UMNO ada di akar umbi. Kita hanya nak menang pilihan raya dan kembalikan agenda membangunkan negara,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Cawangan UMNO Berkelompok Dewan Undangan Negeri Bengkoka dan Pitas di Pejabat UMNO Bahagian Kudat di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Kudat Akram Ismail.

Mahdzir berkata UMNO amat menghargai ahlinya yang setia dan terus kekal bersama dalam perjuangan parti kerana tunjang kekuatan UMNO ialah ahli diperingkat akar umbi yang tidak mengalah biarpun diuji dengan situasi kehilangan beberapa pemimpin.

“Pada 2018, apabila sebahagian daripada rakan kita dalam UMNO di peringkat kepimpinan keluar parti ini, saya tak kisah mereka hendak pergi ke mana tetapi saya hendak nyatakan semangat Ahli Cawangan, Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Pemuda, Puteri dan kepimpinan Bahagian yang terus berjuang.

“Ahli-Ahli yang setia kepada parti itulah yang telah meneruskan kelangsungan UMNO di seluruh negara. Ahli-Ahli UMNO juga tidak perlu lagi malu untuk memakai baju berwarna merah yang melambangkan UMNO atau mengaku diri sebagai ahli UMNO,” katanya. – BERNAMA

UTAMAPOLITIKAhli UMNO jangan jadi seperti ‘ketam dalam bakul’ – Mahdzir Khalid

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium