151 Pelatih Polis Bantuan Keracunan Makanan - pakdin.my

dewan-pulapol

Seramai 151 pelatih Polis Bantuan yang mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Ayer Hitam, Jempol dekat sini mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menikmati rendang ayam di pusat itu, lewat petang Selasa.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Zailan Adnan berkata daripada jumlah itu 18 pelatih dimasukkan ke wad di Hospital Jempol manakala 133 orang mendapat rawatan di klinik pusat latihan itu.

“Mereka makan lewat petang semalam, bagaimana pun hanya mengalami tanda-tanda keracunan makanan seperti muntah-muntah dan cirit-birit awal pagi tadi sebelum mendapatkan rawatan di klinik pusat itu.

“Daripada 18 yang dimasukkan ke wad, kini hanya tinggal enam yang masih ditahan untuk rawatan lanjut, manakala yang lain sudah dibenarkan pulang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Zailan berkata pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian itu sama ada ia benar-benar berpunca daripada rendang ayam yang dihidangkan atau pengendali makanan itu.

“Siasatan awal pihak kami mendapati ramai daripada pelatih terbabit mengadu muntah-muntah dan sakit perut selepas makan rendang ayam itu, bagaimana pun kami perlu melihat dari segala aspek untuk menentukan punca kejadian itu termasuk pengendali makanan,” katanya.

Dr Zailan berkata pihaknya dimaklumkan bahawa makanan itu bukan disediakan oleh mana-mana operator makanan tetapi disediakan sendiri oleh pusat berkenaan yang mempunyai dapur yang agak bersih.

Katanya, jika rendang ayam itu menjadi punca keracunan ia mungkin disebabkan tempoh penyimpanan yang terlalu lama sehingga menyebabkan bakteria membiak sebelum makanan itu dihidangkan.

Justeru, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang mengendalikan makanan terutama untuk dihidangkan kepada orang ramai agar menjaga kebersihan dan memastikan makanan sentiasa baik sepanjang tempoh penyimpanan.

UTAMA151 Pelatih Polis Bantuan Keracunan Makanan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium