O’Donell cadang FAM lantik jurulatih asing bimbing Harimau Malaya - pakdin.my

Pengarah Teknikal baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell mencadangkan agar jurulatih asing dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

O’Donell, 54, yang baharu memulakan tugasnya dengan kontrak selama tiga tahun hari ini  menganggap tindakan itu perlu untuk kebaikan jangka masa panjang bola sepak negara.

“Saya melihat bahawa skuad Harimau Malaya selepas ini perlu dibimbing oleh jurulatih asing bagi mengubah landskap dan masa depan bola sepak Malaysia ke satu dimensi baharu, bukan hanya untuk jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang,” katanya menerusi kenyataan daripada FAM.

FAM dijangka membincangkan mengenai perkara itu dalam masa terdekat, dengan Ketua Jurulatih Skuad Bawah-22 tahun negara Brad Maloney dan Bojan Hodak yang membantu Kuala Lumpur (KL) City FC menjuarai Piala Malaysia 2021, dikaitkan dengan jawatan itu.

Ini selepas FAM mengumumkan peletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan pada Isnin lepas. Cheng Hoe mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan skuad Harimau Malaya mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2020, bulan lepas.

Sementara itu, O’Donell juga mahu meneruskan kesinambungan dan memperkasakan lagi F:30 yang telah dilancarkan pada 31 Okt 2018, yang merupakan peta hala tuju atau roadmap FAM bagi tempoh 12 tahun.

“F:30 ialah pelan strategi untuk 2019 hingga 2030, namun pandemik COVID-19 telah menjejaskan perancangan ini. Peta hala tuju ini sememangnya pelan yang bagus tetapi ia boleh dikembangkan mengikut  peredaran dan kesesuaian masa.

Tidak semestinya ia hanya tertumpu kepada apa yang kita ingin capai dalam membangunkan bola sepak negara, iaitu pasukan kebangsaan yang berprofil tinggi, tetapi ia juga meliputi pembangunan akar umbi, belia, pendidikan jurulatih, bola sepak wanita, futsal dan bola sepak pantai, yang mana kesemua itu juga penting,” kata O’Donell.

O’Donell mempunyai pengalaman luas apabila memegang peranan sebagai Pengajar Jurulatih / Pakar /Mentor Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak 2009 dengan fokus utamanya kepada pembangunan belia, pembangunan jurulatih, pengarah teknikal dan pementoran serta Pengajar Jurulatih Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) iaitu sebagai pengajar bagi Lesen Pro, A, B dan C.

Bekas tonggak pertahanan Kuala Lumpur pada 1994-1995 itu juga, pernah menggalas tanggungjawab selaku Jurulatih Geylang United (2003-2005) di Singapura, Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Kemboja sebanyak dua kali, iaitu pada 2005-2007 dan 2009-2010, sebelum menjadi Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) pada 2015-2017.

BACA juga:

— BERNAMA

UTAMABERITASUKANO'Donell cadang FAM lantik jurulatih asing bimbing Harimau Malaya

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium