[Video] 3 maut termasuk 2 rentung terlibat kes samun sebelum nahas - pakdin.my

Kereta yang terbabas dan terbakar juga mengakibatkan sebuah kereta lain yang diletakkan berhampiran serta sebuah rumah turut terbakar 30%.

TUMPAT – Tiga lelaki yang maut termasuk dua daripadanya rentung selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V yang mereka naiki terbabas dan terbakar di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang di sini dipercayai terlibat dengan kes samun sebelum nahas itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketiga-tiga lelaki yang maut itu dipercayai baru melakukan samun dengan melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

“Hasil siasatan awal, kami mendapati kenderaan Honda HR-V tersebut dinaiki oleh empat lelaki yang kemudian telah pergi ke sebuah rumah di Kampung Palekbang di sini.

“Salah seorang daripada penumpang Honda HR-V itu kemudian bertindak melarikan sebuah kenderaan Ford Ranger dari rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, pemilik Ford Ranger itu yang mendengar bunyi enjin kenderaan tersebut dihidupkan kemudian keluar untuk melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, pada masa sama, seorang lagi penumpang Honda HR-V itu telah keluar lalu melibaskan senjata tajam ke arah pemilik kenderaan tersebut.

Mohd Azmir berkata, salah seorang suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dicuri itu manakala tiga lagi lelaki melarikan diri dengan menaiki Honda HR-V terbabit.

“Pemilik Ford Ranger itu kemudian bertindak mengejar suspek yang melarikan pacuan empat rodanya menggunakan kereta jenis BMW.

“Honda HR-V dinaiki tiga suspek yang melarikan diri itu kemudian terbabas dan melanggar tiang sebuah rumah di Kampung Morak di sini semasa dikejar,” katanya.

Menurutnya, Honda HR-V yang terbabas itu kemudiannya terbakar.

Katanya, bagaimanapun pemilik pacuan empat roda berkenaan terus mengejar kenderaannya sehingga ke Kubang Kerian sebelum Ford Ranger itu terbabas di hadapan pejabat Pos Kubang Kerian, Kota Bharu.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis turut mengesan suspek yang berjaya melarikan diri itu,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga maut dengan dua daripadanya rentung selepas SUV jenis Honda HR-V yang mereka naiki terbabas sebelum terbakar di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang di sini awal pagi Khamis.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Honda HR-V itu datang dari Cabang Tiga Kepulau menghala ke Wakaf Bharu.

BERITA SEBELUMNYA:

[Video] Kereta terbabas, terbakar di Tumpat, 3 mangsa maut

Tiga mangsa maut dengan dua daripadanya rentung apabila sebuah kereta terbabas dan terbakar di Tumpat, Kelantan awal pagi tadi.

Kejadian pada kira-kira 2 pagi itu membabitkan sebuah Honda HRV dari Cabang Tiga Kepulau menghala ke Wakaf Bharu.

Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat Mohd Azmir Damiri, seorang mangsa adalah lelaki berusia 33 tahun, manakala dua lagi belum dikenal pasti.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta itu dipercayai terbabas menyebabkan seorang daripada mereka tercampak keluar beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

“Dua lagi rakannya rentung dalam kereta yang sedang terbakar dan kita sedang mengenal pasti identiti mereka.”

Kejadian itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta terbakar, iaitu sebuah Proton Wira milik penduduk kampung yang diletakkan berhampiran, serta sebuah rumah kosong yang terbakar 30%, kata Azmir.

Semua mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.04 pag, dan apabila tiba di lokasi kejadian, anggotanya mendapati api sedang marak.

“Kelihatan seorang mangsa yang sudah meninggal dunia berada beberapa meter sahaja dari kereta, manakala dua lagi masih dalam kenderaan yang sedang terbakar.

“Kereta itu dipercayai terbabas sebelum terbakar dan turut terlanggar tiang garaj sebuah rumah kosong yang menyebabkan rumah itu turut terbakar,” katanya.

Api dapat dikawal sepenuhnya pada 3.35 pagi, kata Wan Baijuri.

BACA juga:

UTAMABERITA 3 maut termasuk 2 rentung terlibat kes samun sebelum nahas

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium