‘Barangkali negara yang perlu pulihkan MPN’, Zahid bidas Muhyiddin - pakdin.my

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membidas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin kerana kekurangan idea untuk memulihkan ekonomi negara.

Katanya, sehingga kini Muhyidin yang mengetuai MPN belum membentangkan pelan besar untuk membawa Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19 dan belenggu ekonomi.

“Saya tidak pasti sama ada MPN akan memulihkan negara kita atau barangkali negara sebenarnya yang perlu memulihkan MPN.

Berikut adalah petikan dari catatan facebok beliau:

Indonesia Bangkit!

Baru-baru ini Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia Pak Sandiaga Salahuddin Uno, telah berkongsi di dalam halaman Instagram beliau petikan berita ‘Bye-Bye Malaysia-Thailand, Ekonomi RI Sudah Pulih Duluan’ dari Detik Finance bertarik 10 Februari 2022.

Secara ringkasnya menunjukkan bahawa Indonesia sudah keluar dari belenggu kelembapan ekonomi dan berada dalam jajaran kedudukan sebelum pandemik. Keadaan itu sekali gus meletakkan Indonesia sebagai negara Asia tenggara yang berikutnya menyusul langkah Singapura, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat dan beberapa ekonomi maju yang lain.

Saya gembira melihat negara jiran kita berjaya. Ia membawa berita baik kepada rantau ini. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebagai demokrasi ke-3 terbesar dunia dan terbesar dalam dunia Islam, Indonesia punya potensi yang mengagumkan.

Dengan populasinya yang ke-4 terbesar di dunia – kira 260 juta penduduk bersamaan 3.49% daripada jumlah populasi dunia dan merupakan negara (berdasarkan populasi) Islam terbesar dunia.

IMF menjangkakan yang Indonesia bakal merekodkan KDNK (nominal) ke-16 terbesar dunia berjumlah US$1.075 trilion setakat 2018, dan dijangkakan mencecah US$1.549 trilion menjelang 2023.

Malah, Indonesia juga mencatatkan ‘GDP by purchasing power parity’ ke-7 terbesar dunia dengan jumlah US$3.492 trilion setakat 2018 dan dijangkakan naik ke tangga ke-4 tertinggi pada tahun 2050 iaitu sebanyak US$12.2 trilion selepas China, India dan AS.

Dan jangan kita lupa bahawa Indonesia kini adalah sebahagian daripada kumpulan berikut:
a. CIVETS (iaitu 6 buah negara dengan pasaran pesat membangun susulan kerencaman dan kedinamikan ekonomi dan mempunyai populasi muda yang semakin berkembang iaitu Columbia, Indonesia, Vietnam, Mesir, Turki dan Afrika Selatan),
b. BICIS (negara dengan pengaruh yang besar dalam hal ehwal serantau),
c. D-8 Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (kerjasama ekonomi 8 negara Islam membangun bersama-sama dengan Malaysia, Iran, Turki, Nigeria, Bangladesh, Mesir, Pakistan)
d. Next Eleven (Negara dengan potensi besar menjadi ekonomi terbesar dunia), dan
e. E7 (7 ekonomi terbesar dunia yang sedang membangun yang boleh disamakan dengan G7, yang turut terdiri daripada China, India, Brazil, Mexico, Turki dan Rusia).

Namun, yang paling penting sebenarnya, Indonesia mempunyai Kerajaan yang stabil dan kuat yang membolehkannya membuat banyak keputusan besar dan kritikal dengan berkesan dan lancar.

Sebab itulah UMNO sangat menitik beratkan kestabilan. Perkara ini tidak akan dapat dicapai kalau kita berada dalam situasi yang sentiasa diugut-ugut oleh pihak lawan. Seperti di Johor sebelum ini – 28 ADUN Kerajaan, 27 ADUN Pembangkang dan 1 Speaker Dewan dari blok pembangkang – adalah satu kedudukan yang sangat rapuh, malah boleh dianggap ‘hung assembly’.

Malah, jika kita rujuk kepada kenyataan dan pandangan DYAM Tengku Mahkota Johor baru-baru ini, zaman Pakatan Harapan (PH) menyaksikan kejatuhan nilai pelaburan yang signifikan kepada negeri Johor berbanding prestasi pada 2016, 2017 dan 2018. Kita sangat sedar bahawa pelaburan bergantung dan dipengaruhi oleh kestabilan politik.

Dalam hal ini, mereka yang menggalas tanggungjawab untuk mengepalai Majlis Pemulihan Negara (MPN), wajib melihat semua ini sebagai satu keperluan mendesak. Carilah idea besar untuk membawa keluar negara kita dari belenggu ekonomi dan trauma pandemik. Berhentilah menyalahkan semua pihak, khususnya UMNO.

Setakat ini, Pengerusi MPN belum pun memutuskan atau membentangkan apa-apa pelan besar untuk membawa Malaysia keluar dari pandemik dan belenggu ekonomi.

𝙎𝙖𝙮𝙖 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙥𝙖𝙨𝙩𝙞 𝙨𝙖𝙢𝙖 𝙖𝙙𝙖 𝙈𝙋𝙉 𝙖𝙠𝙖𝙣 𝙢𝙚𝙢𝙪𝙡𝙞𝙝𝙠𝙖𝙣 𝙣𝙚𝙜𝙖𝙧𝙖 𝙠𝙞𝙩𝙖, 𝙖𝙩𝙖𝙪 𝙗𝙖𝙧𝙖𝙣𝙜𝙠𝙖𝙡𝙞 𝙣𝙚𝙜𝙖𝙧𝙖 𝙨𝙚𝙗𝙚𝙣𝙖𝙧𝙣𝙮𝙖 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙥𝙚𝙧𝙡𝙪 𝙢𝙚𝙢𝙪𝙡𝙞𝙝𝙠𝙖𝙣 𝙈𝙋𝙉.

BACA juga:

UTAMAPILIHAN RAYA‘Barangkali negara yang perlu pulihkan MPN’, Zahid bidas Muhyiddin

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium