Ibu bapa pelajar MRSM berang karnival Keluarga Malaysia diteruskan di sebalik ancaman Covid-19 - pakdin.my

Ibu bapa pelajar yang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat dan bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berang kerana Karnival Keluarga Malaysia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diteruskan, meskipun anak-anak mereka baharu selesai dikuarantin selepas kes positif Covid-19 dilaporkan.

Karnival KPT itu, yang bermula semalam hingga esok, turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Noraini Ahmad.

Ibu bapa yang dihubungi memberitahu, anak mereka selesai dikuarantin pada 12 Feb selepas kes Covid-19 dilaporkan di MRSM Batu Pahat.

“KPT tidak peka langsung keadaan anak-anak yang baharu selesai dikuarantin oleh kerana ada jangkitan Covid-19 dan juga keselesaan mereka untuk belajar demi masa depan mereka,” luah seorang ibu yang meminta tidak dinamakan demi keselamatan anaknya.

Anaknya adalah antara 126 pelajar yang sedang menghadapi SPM. Ibu bapa memberitahu bahawa mereka dimaklumkan terdapat 9 kes positif melibatkan pelajar dan guru pada 28 Jan.

Poster di media sosial menyatakan karnival yang berlangsung di Dewan Seri Mahkota itu dibuka kepada orang ramai dan menyediakan pelbagai acara seperti Pameran ‘Jom Masuk IPT’, karnival kerjaya, gerai jualan komuniti dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Sementara itu, tinjauan di lapangan mendapati ramai orang mengunjungi karnival itu. Ada kalangan pengunjung dilihat memakai pelindung muka bersama pelitup, namun segelintir tidak memakainya dengan sempurna.

Di khemah utama, di mana majlis perasmian oleh Perdana Menteri berlangsung, kerusi diatur mengikut SOP penjarakan fizikal. Namun keadaan yang pada mulanya teratur terus berubah dengan ketibaan Ismail dan VIP lain dengan orang ramai berkerumun ke arah pemimpin itu.

Pada majlis perasmian karnival itu hari ini Ismail turut melancarkan logo Sambutan Ulang Tahun Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS)-10 dan Larian KPT YSS Keluarga Malaysia 1 juta KM.

“Kami bantah karnival ini demi kesejahteraan anak-anak kami yang sudah pun mula SPM. Minta warga Batu Pahat, warga Johor dan semua rakyat sama boikot karnival ini,” kata seorang ibu.

Ibu bapa memberitahu bahawa mereka ada membuat bantahan di laman sosial Noraini. Mereka turut mengadakan undian dalam talian mendesak lokasi karnival ditukar ke tempat lain atau ditangguhkan.

Bapa seorang pelajar berkata, beliau hanya maklum tentang karnival itu melalui media sosial.

“Bayangkan dalam tempoh tiga hari ini dengan bunyi bising, saya tak nampak penganjur faham. Budak nak periksa, dengan bunyi bising, ia boleh beri tekanan emosi,” katanya.

Ibu bapa turut memberitahu bahawa mereka tidak boleh berjumpa anak mereka sejak 9 Jan sehingga hari ini.

UTAMABERITAAMIbu bapa pelajar MRSM berang karnival Keluarga Malaysia diteruskan di sebalik ancaman...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium