Polis serbu premis jadi sarang pelacur - pakdin.my

Polis menyerbu sebuah premis di Taman Miharja, Cheras di sini yang menjalankan kegiatan pelacuran dengan menahan sembilan individu malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 8 malam hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, pemeriksaan kemudian menahan dua lelaki sebagai penjaga dan tujuh wanita warga asing yang menjalankan kegiatan pelacuran.

“Ketika pemeriksaan terdapat empat lelaki dipercayai untuk mendapatkan khidmat wanita terbabit.

“Polis kemudian merampas sebuah telefon bimbit, 19 keping kondom, tuala, jadual kerja dan wang tunai RM90,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372B/373 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1952.

Sementara itu, dalam operasi berasingan polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu dan Jalan Metro Perdana 2, Pudu 11.30 malam tadi.

Menurut Habibi, seramai 56 pelanggan terdiri 40 lelaki dan 16 wanita diperiksa dalam serbuan dan turut ditahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga premis.

“Polis kemudian mengeluarkan kompaun sebanyak RM57,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

“Polis turut merampas resit perniagaan, peralatan muzik dan botol minuman keras,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

UTAMABERITAPolis serbu premis jadi sarang pelacur

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium