[Video] Grand Livina sudah ditemui, polis giat kesan suspek sebabkan kemalangan maut, samun di LPT2 - pakdin.my

SEBUAH Nissan Grand Livina yang dibawa lari dua suspek kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT) semalam ditemui ditinggalkan di kawasan letak kereta Kolej Komuniti Kuantan, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kenderaan pelbagai guna itu ditemui kira-kira pukul 12.20 tengah malam tadi.

Katanya, pihak polis juga sudah berjaya mengenal pasti identiti kedua-dua suspek dan yakin dapat membuat tangkapan dalam masa terdekat.

“Kedua-dua suspek berusia 20 dan 30-an itu adalah penduduk tempatan. Hasil semakan dilakukan, polis mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau berhubung dengan kesalahan dadah,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Semalam polis Kemaman membuat hebahan bagi mengesan dua suspek lelaki yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 269, LPT2 pada pukul 1.15 petang semalam.

Pemandu dan penumpang Perodua Myvi itu melarikan diri selepas merempuh motosikal yang ditunggangi Zokafli Ahmad,57, sebelum mangsa terbabas ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan diri ke susur keluar Cheneh.

Saksi kemalangan kemudian bertindak mengejar mereka sebelum memberhentikan kenderaan Nissan Grand Livina untuk bertanyakan kenapa mereka melarikan diri dari tempat kejadian.

Kedua-dua suspek secara tiba-tiba bertindak melarikan kenderaan Grand Livina tersebut dan meninggalkan Myvi yang terlibat dalam kemalangan.

Tambahnya, hasil semakan, kereta Perodua Myvi tersebut adalah milik seorang guru yang memberikan kepada adiknya bagi membantu mengusahakan perkhidmatan sewa kenderaan di Kuantan.

“Siasatan polis mendapati kereta itu disewa seorang wanita dua hari lalu dan wanita itu turut mempunyai rekod lampau berkaitan seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Wanita terbabit akan dipanggil bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


UTAMABERITA Grand Livina sudah ditemui, polis giat kesan suspek sebabkan kemalangan maut,...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium