Gerakan: Kenyataan Azizan bukti tiada tender terbuka - pakdin.my

ALOR SETAR – Kenyataan Pemuda Gerakan Kedah mengenai empat projek bernilai hampir RM37 bilion tidak dibuat secara tender terbuka adalah berdasarkan kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak sendiri.

Ketuanya Tan Keng Liang berkata Azizan sebelum ini dilapor media sebagai mengaku kerajaan negeri tidak mempunyai wang untuk membuat tawaran tender terbuka.

“Menteri Besar sendiri mengaku, jadi tidak perlu kami buktikan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Tan mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Mohamed Azmin Ali yang menuduh pergerakan itu membuat fitnah dan cuba mengelirukan masyarakat Kedah apabila mendakwa kerajaan Kedah pimpinan PAS cuba menyorokkan sesuatu berhubung empat projek terbabit.

Mengulas lanjut, Tan berkata Azmin sepatutnya meneliti kenyataan yang dibuat Azizan sebelum menuduh Pemuda Gerakan Kedah membuat fitnah.

Azizan sebelum ini didesak menjelaskan beberapa isu berhubung empat projek terbabit termasuk Projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH) bernilai RM36 bilion yang masih tergendala apabila pemaju dilantik menghadapi masalah teknikal dan kewangan.

Tiga lagi projek yang menjadi isu ialah pembinaan pusat membeli belah Aman Central bernilai RM500 juta, projek kediaman Amansuri Residences (RM109 juta) dan pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin), milik kerajaan negeri, di Kuala Ketil yang menelan belanja RM330 juta.

UTAMABERITAGerakan: Kenyataan Azizan bukti tiada tender terbuka

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium