[Video] Muhyiddin minta bantuan saya untuk jadi PM semula, kata Dr M - pakdin.my

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin menemuinya baru-baru ini untuk meminta bantuan mendapatkan semula jawatan perdana menteri.

“Muhyiddin jumpa saya, beliau mahu saya sokong percubaannya untuk jadi PM sekali lagi,” kata Mahathir pada sidang media di sini, hari ini.

Apabila ditanya sama ada beliau akan menyokong Muhyiddin, Mahathir berkata, Pejuang “tidak akan menyokong individu yang gagal sebagai PM”.

Semalam, dua bekas perdana menteri itu dilaporkan mengadakan pertemuan baru-baru ini atas permintaan Muhyiddin.

Anak Mahathir, Mukhriz dipetik sebagai berkata, Muhyiddin mahu Pejuang dan PPBM bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang (PRU15).

“Semasa (Muhyiddin) jadi perdana menteri, kebanyakan orang tak puas hati dengan kepimpinannya,” kata Mahathir.

“Beliau bukan perdana menteri yang bagus. Jika beliau capai sesuatu yang hebat untuk negara, saya yakin tanpa sokongan daripada saya pun beliau boleh menang.”

Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau tidak tahu mengapa Muhyiddin mendekatinya untuk mendapatkan sokongan Pejuang memandangkan beliau tahu prestasi parti tersebut yang buruk pada PRN Johor baru-baru ini.

“Kami bukan (parti yang) kuat, kami tak ada banyak wang, tetapi beliau minta kami sokongnya,” kata Mahathir.

Beliau menegaskan bahawa Pejuang hanya akan bekerjasama dengan parti-parti yang komited memerangi rasuah.

“Parti-parti ini mesti isytihar dengan jelas mereka tak sokong rasuah dan tak bertanding pada pilihan raya dengan beri wang kepada orang,” katanya.

Apabila diminta mengulas mengenai persaraan veteran DAP Lim Kit Siang daripada arena politik, Mahathir menegaskan beliau sendiri mungkin tidak akan bertanding pada PRU15 tetapi tidak akan meninggalkan Pejuang begitu sahaja.

“Saya tak boleh buat keputusan sekarang kerana saya perlu akur dengan keputusan parti. Saya tak boleh buat keputusan sendiri. Jadi itu kita akan putuskan kemudian,” katanya.

UTAMAPOLITIK Muhyiddin minta bantuan saya untuk jadi PM semula, kata Dr M

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium