Utama DUNIA Kadar vaksinasi di Jawa meningkat menjelang Aidilfitri

Kadar vaksinasi di Jawa meningkat menjelang Aidilfitri

JAKARTA: Hampir kesemua penduduk di kepulauan Jawa, Indonesia, kini mempunyai antibodi menentang COVID-19, hasil program vaksinasi dan juga kadar jangkitan tinggi sebelum ini.

Berdasarkan kajian dilakukan pihak berkuasa kesihatan Indonesia pada Mac lalu membabitkan 2,100 calon, hampir 99.2 peratus daripadanya mempunyai antibodi COVID-19, iaitu peningkatan enam peratus berbanding kaji selidik pada Disember tahun lalu.

Pakar epidemiologi di Universiti Indonesia, Pandu Riono, yang melakukan kaji selidik itu bersama Kementerian Kesihatan, memberitahu Reuters bahawa tahap antibodi penduduk dalam kaji selidik kali ini lebih tinggi berikutan pemberian suntikan dos penggalak.

Jumlah kes jangkitan coronavirus di Indonesia menurun mendadak sejak kemuncak direkodkan pada Februari lalu berikutan penularan varian Omicron.

Kira-kira 60 peratus daripada 270 juta penduduk negara itu sudah menerima vaksinasi COVID-19.

Menurut Pandu, tahap antibodi yang kuat secara tidak langsung menunjukkan kadar jangkitan menurun dengan cepat di Indonesia.

Menerusi kaji selidik yang dilakukan terhadap 22,000 penduduk pada Disember lalu, sebanyak 86 peratus rakyat negara itu sudah mempunyai antibodi COVID-19.

Sejak beberapa minggu lalu, Indonesia mula melonggarkan sebahagian daripada sekatan pandemik, termasuk menarik balik peraturan kuarantin kepada pengembara antarabangsa.

Selain itu, penduduk juga dibenarkan pulang beraya ke kampung untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini selepas dua tahun ditangguhkan, dengan syarat sudah menerima suntikan vaksin dos penggalak. – AGENSI

 

Exit mobile version