[Video] Tempat pelupusan mercun di Sentul terbakar, tiga cedera ringan - pakdin.my

KUALA LUMPUR: Tiga pekerja pembersihan cedera ringan dalam satu kebakaran yang mengakibatkan letupan kuat sehingga menggegarkan kawasan Sentul, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.30 itu berpunca dari stor simpanan bunga api yang dirampas oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul di Jalan Perhentian, di sini hari ini.

Ia turut tular di media sosial apabila gambar kepulan asap berbentuk cendawan dimuat naik oleh warganet.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan kejadian dan berkata, tiga yang cedera hanya mengalami sedikit kecederaan.

Katanya, mereka cedera ketika menjalankan kerja-kerja membersihkan tapak pelupusan mercun dan bunga api di stor berkenaan.

“Tiga lelaki yang berasal dari Sabah ini diupah bagi membersihkan kawasan pelupusan rampasan mercun dan bunga api yang dilakukan kami pada jam 3 petang tadi.

“Ketika membersihkan kawasan, api dilaporkan tiba-tiba terpercik di dalam tong sampah RORO (Roll On Roll Off) yang digunakan untuk menempatkan sisa pelupusan sebelum berlaku beberapa siri letupan dipercayai mercun.

“Ketiga-tiga mangsa berusia 25 hingga 30 tahun telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Eng Lai berkata, prosedur operasi standard (SOP) pelupusan barang kes dilakukan mengikut Perintah Mahkamah iaitu melupus barang kes dengan cara gelek iaitu menggunakan jentolak dan siraman air dan kemudian ditanam.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan turut mengesahkan tiga orang mangsa lelaki dewasa cedera ringan dalam kejadian itu dan kesemuanya sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 petang dan seterusnya balai bomba dan penyelamat (BBP) Sentul menghantar jentera ke tempat kejadian. Mereka dibantu oleh BBP Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Wangsa Maju.

“Ia membabitkan stor simpanan rampasan bahan bukti berkeluasan 100 X 50 kaki persegi dan terbakar 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka yang membabitkan 50 buah kenderaan,” katanya.

Katanya, seramai 60 anggota dan tiga jentera FRT, satu jentera FLRT, tiga trak air, satu jentera ALP dan dua EMRS dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba membuat pemadaman dengan mengunakan kaedah pemadaman secara ‘offensive firefigthing’ dengan memasuki premis dan ‘defensive firefighting’ pemadaman dari luar bangunan.

“Kebakaran dikawal oleh pasukan bomba pada jam 7.04 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

 

UTAMABERITA Tempat pelupusan mercun di Sentul terbakar, tiga cedera ringan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium