Keluar Sarawak atau lupakan saja bentuk kerajaan seterusnya, PN diberitahu - pakdin.my

Perikatan Nasional (PN) perlu menarik diri dari Sarawak sekiranya ia menaruh sebarang harapan untuk membentuk kerajaan persekutuan seterusnya, kata penganalisis politik.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir berkata, jelas bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dominan tidak berhasrat untuk menyerahkan mana-mana kerusi di negeri itu kepada mana-mana parti berasaskan persekutuan pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

PN pimpinan Bersatu mempunyai dua ahli Parlimen dari Sarawak, iaitu Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo) yang berpaling tadah daripada PKR. Persoalan timbul mengenai masa depan mereka dengan GPS untuk bertanding di kerusi yang mereka wakili.

“Tiada siapa boleh membentuk kerajaan persekutuan secara sendirian. Malah Barisan Nasional (BN) yang dominan seperti sekarang memerlukan rakan kongsi, terutamanya parti di Sabah dan Sarawak,” kata Jeniri.

Katanya, hubungan baik dengan GPS akan meningkatkan kemungkinan untuk bekerjasama selepas PRU15.

“Saya rasa BN sedar mengenainya dan ia bersikap realistik. Itulah sebabnya anda tidak melihat kehadiran BN di Sarawak sejak PRU14,” katanya.

Di Sarawak, PN diwakili oleh Bersatu dan PAS, tetapi Jeniri berkata, kedua-duanya tidak mempunyai pengaruh yang cukup untuk menuntut kerusi di negeri itu.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, beliau dan rakan sejawatnya dalam GPS, Abang Johari Openg bersetuju untuk bekerjasama pada PRU15.

Namun, Jeniri berkata beliau tidak melihat GPS mengadakan sebarang kerjasama dengan PN kerana Muhyiddin tidak lagi menjadi perdana menteri dan justeru itu tidak banyak insentif untuk GPS berbuat demikian.

“Bagi saya, jika PN mahu bersedia untuk PRU15, ia harus menjelaskan bahawa mereka tidak akan bertembung dengan GPS. Adalah lebih baik jika mereka meninggalkan Sarawak sama sekali dan memberi tumpuan kepada Semenanjung.”

Bagi Ali dan Willie katanya, tidak mungkin mereka akan dipilih oleh GPS untuk mempertahankan kerusi masing-masing walaupun menyertai gabungan itu.

“Jadi saya rasa prospek untuk mereka mempertahankan kerusi tidak begitu baik, tidak kira sama ada mereka menentang GPS atau menyertai gabungan itu,” katanya.

UTAMAPILIHAN RAYAPILIHAN RAYA UMUM 2022Keluar Sarawak atau lupakan saja bentuk kerajaan seterusnya, PN diberitahu

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium