[Video] Lelaki maut ditembak dikehendaki kes dadah, SOSMA - pakdin.my

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut ditembak pada jarak dekat dalam kejadian di persimpangan trafik, Taman Intan, Sungai Petani, Kedah.

Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengahari ketika mangsa dikenali sebagai Murali Shanmugan berusia 36 tahun berjalan ke arah kenderaan Toyota Vellfire miliknya sebelum didatangi empat lelaki menaiki dua motosikal.

Suspek dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya lapan das tembakan yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di badan serta muka dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa dikatakan datang ke restoran terbabit bersama isteri, seorang kanak-kanak dipercayai anak angkat serta rakannya dan baru selesai membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Bagaimanapun, sebaik membuka pintu kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya, mangsa dihampiri empat lelaki yang menunggang motosikal dan terus melepaskan tembakan dari jarak dekat dan difahamkan ketika itu isteri dan anak mangsa masih berada dalam kedai.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mangsa ditembak dalam jarak kira-kira satu meter sebelum dia rebah berhampiran MPV putih miliknya.

“Siasatan mendapati empat lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh serta berjaket menghampiri dan melepaskan tembakan terhadap mangsa.

“Ketika itu mangsa dikatakan mahu masuk ke dalam kenderaannya dan hasil pemeriksaan lanjut kita menemui lapan kelongsong peluru,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad juga berkata mangsa dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang dan aktiviti berkaitan dadah, dengan satu kes sedang berjalan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Wan Hassan memberitahu bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Wan Hassan berkata, semakan rekod mendapati mangsa individu dikehendaki mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terbabit dalam kumpulan kongsi gelap dan juga pengedaran dadah.

“Bagaimanapun, kita masih menyiasat motif kejadian berhubung kes tembak ini dan siasatan mengenainya akan dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.

“Setakat ini, kita juga sedang mengesan semua suspek dan akan meneliti kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia mendengar letupan yang disangkakan berpunca daripada mercun namun terkejut apabila melihat seorang lelaki rebah dalam keadaan berlumuran darah.

“Selepas bunyi itu, saya lihat orang ramai mula mengerumuni lokasi kejadian dan terkejut apabila mendapati mangsa tidak sedarkan diri berhampiran kenderaannya.

“Saya sempat melihat empat lelaki yang menunggang dua motosikal terus beredar dari lokasi kejadian dan terkejut kerana bunyi letupan yang pada awalnya disangka mercun sebenarnya adalah tembakan,” katanya.

UTAMABERITA Lelaki maut ditembak dikehendaki kes dadah, SOSMA

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium