Utama NASIONAL BORNEO Bekas Menteri Sabah, Peter Anthony kena jel 3 tahun, denda RM50,000

[Video] Bekas Menteri Sabah, Peter Anthony kena jel 3 tahun, denda RM50,000

Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony didapati bersalah atas pertuduhan memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membuat keputusan itu hari ini selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap itu.

Pada 14 Disember tahun lalu mahkamah memerintahkan Anthony, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pada 21 September 2021, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan.

Seramai 15 saksi pendakwaan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula April 2021.

Anthony sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Azura berkata, keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan menyatakan bahawa syarikat Peter iaitu Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan fasa pertama di UMS dan perkara itu tidak dinafikan pihak pembelaan.

“Terdapat keterangan mencukupi bahawa tertuduh telah menipu saksi pendakwaan ketiga, kelapan dan kesembilan dengan mengaburi pemikiran mereka mengenai ‘smart partnership’ antara anak syarikat milik penuh UMS, Ulink Property Sdn Bhd dan syarikat milik Peter, Asli Jati,” kata hakim itu.

Tiga saksi berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S. Omang, bekas pengerusi Ulink Property Sdn Bhd Datuk Abdullah Mohd Said dan rakan Peter, Mohd Shukur Mohd Din.

Mahkamah kini sedang mendengar hujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Haresh Prakash Somiah dan Francine Cheryl Rajendram manakala peguam S. Devanandan bersama Datuk D.Senthinathan mewakili Peter.

Exit mobile version