Teka-Teki Berterusan Dengan Pengumuman Tarikh Pembentangan Bajet - pakdin.my

Pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa bajet bagi tahun 2013 akan dibentangkan pada 28 September depan seolah-olah membawa pengertian bahawa pilihan raya umum yang ke-13 tidak mungkin akan diadakan bila-bila masa sebelum itu.

Jika tidak, apa gunanya menetapkan tarikh tersebut. Lagi pun alang-alang nak bentang bajet, lebih baik umumkan beberapa insentif atau berita yang mengembirakan buat rakyat.

Tetapi sejak kempen iklan berbaur pilihan raya mula muncul di kaca televisyen dengan tema “Marilah Bersatu Membina Masa Depan” ramai yang membuat andaian perdana menteri bakal membubarkan parlimen bila-bila masa sahaja dari sekarang sehingga sebelum Ramadan menjelma 21 Julai ini.

Namun, pengumuman tarikh bajet itu telah sedikit sebanyak memberikan kesan anti-klimaks kepada spekulasi bahawa pilihan raya umum awal mungkin akan berlaku sebelum pembentangan bajet.

Sebelum kita pergi lebih jauh ada baiknya kita imbas kembali apa yang pernah dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1999.

Pada tahun itu, Dr Mahathir membentangkan bajet pada 15 Oktober dan ketika ahli-ahli parlimen masih lagi berdebat mengenai bajet, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk membubarkan parlimen yang masih bersidang itu pada 11 November.

Pilihan raya umum kemudiannya ditetapkan pada 29 November.

Jadi ini bukanlah sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah pilihan raya kita dan Najib juga boleh melakukan keputusan yang sama seperti mana Dr Mahathir pada tahun 1999 dahulu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, adalah tidak menjadi satu masalah atau kesalahan untuk parlimen dibubarkan ketika ia sedang membahaskan bajet bagi tahun berikutnya.

Ia adalah prerogatif seorang perdana menteri untuk menentukan bilakah masa yang sesuai untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai tarikh atau masa yang sesuai untuk membubarkan parlimen sekaligus membuka laluan kepada SPR untuk menetapkan tarikh penamaan calon, jangka waktu berkempen dan tarikh membuang undi,

Tempoh sah Dewan Rakyat hanya akan berakhir pada 24 April tahun hadapan dan selepas itu pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Sidang Dewan Rakyat yang seterusnya tahun ini akan bermula dari 11 hingga 28 Jun tetapi itu tidak membawa apa-apa kesan jika Najib memutuskan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun, dari segi bacaan logiknya pula, jika pilihan raya perlu diadakan sekarang ia perlulah dilakukan sebelum 21 Julai di mana umat Islam akan menyambut Ramadan.

Walaupun tidak menjadi satu kesalahan tetapi tidak mungkin pilihan raya akan jatuh dalam bulan Ramadan. Pertama kerana ia adalah bulan yang sepatutnya umat Islam menumpukan perhatian kepada ibadat jadi tak sesuai hendak berceramah dan berkempen.

Kedua, kempen dan ceramah pilihan raya biasanya berlangsung pada waktu malam jadi jika pilihan raya diadakan pada bulan Ramadan, orang sibuk lebih hendak mengerjakan solat tarawih bukannya hendak mengejar waktu ceramah.

Sebulan selepas itu, umat Islam sibuk hendak menyambut raya dan dua minggu kemudian negara pula sibuk hendak menyambut ulang tahun kemerdekaan.

Kemudian datang bulan September. Jika hendak ikutkan inilah sebenarnya bulan yang paling tidak sibuk sehinggalah pembentangan bajet pada 28 haribulan.

Tetapi barang diingat, menjelang minggu ketiga September beribu orang sudah mula mengerjakan haji sehinggalah tibanya raya Aidil Adha pada 26 Oktober.

Dua minggu selepas raya haji, tiba giliran masyarakat India pula membuat persiapan menyambut Deepavali iaitu pada 13 November.

Hanya selepas tarikh ini sehingga 25 Disember iaitu hari Krismas, baru nampak ada ruang yang munasabah untuk dibubarkan parlimen dan diadakan pilihan raya umum apatah lagi dalam tempoh ini juga, adalah tempoh cuti sekolah.

Jika dalam waktu ini pun tidak berlaku juga pilihan raya, maknanya pilihan raya umum tidak lain dan tidak bukan akan berlangsung sebelum tahun baru Cina tahun hadapan.

UTAMAPOLITIKTeka-Teki Berterusan Dengan Pengumuman Tarikh Pembentangan Bajet

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium