Utama DUNIA Pesawat bawa 22 penumpang dikhuatiri terhempas di Pergunungan Himalaya

[Video] Pesawat bawa 22 penumpang dikhuatiri terhempas di Pergunungan Himalaya

KATHMANDU – Sebuah pesawat penumpang kecil milik syarikat penerbangan Tara Air di Nepal dikhuatiri terhempas selepas terputus hubungan dengan menara kawalan pagi tadi, lapor stesen penyiaran NDTV.

Menurut pegawai syarikat penerbangan itu, terdapat 22 penumpang di dalam pesawat termasuk empat warganegara India.

Pesawat enjin berkembar Tara Air 9 NAET itu  terputus hubungan semasa terbang dari bandar pelancongan Pokhara, kira-kira 200 kilometer ke barat laut ibu negara Nepal, Kathmandu menuju ke Jomsom.

Pesawat itu yang dalam penerbangan berjadual selama 15 minit terputus hubungan sejurus selepas berlepas pada 9.55 pagi (waktu tempatan).

“Pesawat itu dilihat di langit Jomsom di daerah Mustang dan kemudian melencong ke Gunung Dhaulagiri selepas itu ia terputus hubungan,” kata Pegawai Daerah, Netra Prasad Sharma.

Pesawat itu membawa empat warga India dan tiga rakyat Jepun. Bakinya adalah warga Nepal termasuk kru penerbangan.

Menurut polis, pesawat itu disyaki terhempas di kawasan Titi Lete,  daerah pergunungan Mustang yang merupakan daerah kelima terbesar di Banjaran Himalaya.

“Penduduk Titi telah menelefon pihak berkuasa dan memaklumkan kepada kami bahawa mereka telah mendengar bunyi luar biasa seperti ada bunyi dentuman.

“Kami sedang mengerahkan sebuah helikopter ke kawasan itu untuk operasi mencari,” kata Ketua Polis Daerah Mustang, Ram Kumar Dani.

Kerajaan Nepal juga telah mengerahkan dua helikopter persendirian dari Mustang dan Pokhara untuk mencari pesawat yang hilang. – Agensi

 

Exit mobile version