Benarkan penganjuran festival Bon Odori, Sultan Selangor titah kepada Jais - pakdin.my

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat penganjuran festival Bon Odori serta menghalang mana-mana individu untuk menyertainya.

Jais dalam kenyataan hari ini berkata, Sultan Sharafuddin turut mengarahkan pegawai Jais dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menghadiri festival berkenaan bagi “melihat sendiri” apa yang berlaku.

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri Selangor,” kata Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad.

Festival tahunan itu yang dianjurkan oleh masyarakat Jepun di Malaysia kembali diadakan semula selepas berehat selama dua tahun disebabkan wabak Covid-19. Ia akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai dan Pulau Pinang pada 30 Julai.

Salah satu penganjurnya, iaitu Kelab Jepun Kuala Lumpur, menyifatkan Bon Odori yang mula diadakan Malaysia pada 1977 sebagai “acara kecil-kecilan” oleh ekspatriat Jepun untuk membolehkan anak-anak mereka mendalami budaya Jepun.

Katanya, ia telah berkembang “menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu dan disertai oleh kira-kira 35,000 orang setiap tahun”.

Pada 6 Jun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati festival itu mempunyai unsur keagamaan lain.

Kenyataan itu turut disambut Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Nor menasihatkan umat Islam tidak terlibat kerana dibimbangi membawa kepada perbuatan syirik.

Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin tidak berkenan keputusan dan ketetapan berhubung festival ini disimpul secara tergesa-gesa, tanpa kajian mendalam.

Menurut Sultan Sharafuddin “banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada dalam budaya”.

“Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

“Baginda juga tidak bimbang jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengetepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” kata Mohd Shahzihan.

UTAMABERITAAMBenarkan penganjuran festival Bon Odori, Sultan Selangor titah kepada Jais

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium