(Video) “Aku terima nikahnya Nurul Nadia binti Johari dengan emas kahwinnya 500 juta ringgit tunai” - pakdin.my

“Malam sebelum akad nikah, keluarga minta saya berlatih tetapi saya ‘angkuh’… saya tidak buat. Keesokannya saya tersasul hingga tiga kali akad,” kata Sameer Danial Nordin, 30.

Pengantin baharu itu berkongsi kisah dia gugup semasa berjabat tangan dengan kadi ketika akad nikah dengan pasangannya, Nurul Nadia Johari, 29, di Gurun, Kedah, Jumaat lalu.

Kisah jejaka berasal dari Shah Alam, Selangor itu tular di media sosial selepas adik perempuannya memuat naik video akad nikah itu di TikTok.

Dalam video itu, Sameer Danial tersasul menyebut mas kahwin sebanyak RM500 juta, sedangkan mas kahwin sebenar adalah RM500.

Sameer Danial mengaku video itu adalah akad keduanya selepas kali pertama tersasul menyebut nama sendiri, berbanding nama isteri.

“Video tular merupakan lafaz kedua yang saya ucapkan, itu pun saya sedar tersasul apabila ditegur oleh bapa saudara yang duduk di belakang.

“Memang kelakar apabila saya melihat balik video tersebut. Saya tidak sangka perasaan gugup menyelubungi diri hingga terpaksa lafaz akad sebanyak tiga kali.

“Saya kira (anggap) itu adalah kifarah, supaya jangan bersikap angkuh dan tidak mendengar nasihat yang meminta supaya berlatih,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sameer Danial berkata, dia sangat gementar ketika hari pernikahan itu kerana diadakan di pekarangan masjid dan disaksikan ramai ahli keluarga dan saudara mara.

“Ketika itu, tok kadi dan imam juga menyuruh saya untuk beristighfar kerana kemungkinan terdapat ‘gangguan’.

“Saya bersyukur kerana pada akad kali ketiga, semuanya berjalan lancar dan saya sah menjadi suami kepada Nurul Nadia,” katanya yang menyifatkan insiden itu sebagai kenangan manis untuk dikenang sampai bila-bila.

Mengenai videonya tular di media sosial, Sameer Danial berkata, meskipun malu, dia tidak mengambil hati komen warganet terhadap kisah dirinya.

Katanya, dia juga tidak menyangka adiknya merakam video itu dan berkongsi di TikTok hingga mendapat perhatian orang ramai.

“Isteri saya pun tidak henti menonton video itu dan sempat ‘membahan’ kerana kesilapan yang saya lakukan,” katanya.

UTAMAGAYA HIDUPVIRAL(Video) "Aku terima nikahnya Nurul Nadia binti Johari dengan emas kahwinnya 500...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium