Utama NASIONAL BORNEO Seorang daripada dua remaja hilang akibat arus deras di Penampang ditemukan

[Video] Seorang daripada dua remaja hilang akibat arus deras di Penampang ditemukan

Penampang: Seorang daripada mangsa yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Pogunon, sejak semalam, ditemukan lemas di Sungai Moyog Kampung Pagansakan Inobong, di sini, hari ini.

Mangsa yang dipercayai sebagai Harold Walter, 17, ditemukan pada 2.45 petang oleh penduduk kampung yang kebetulan turun ke sungai untuk memeriksa pukat ikan miliknya.

Difahamkan, mangsa ditemui di tebing sungai dalam keadaan ditimbuni pasir dan runtuhan pokok bambu.

Sebaik ditemui, penduduk kampung terbabit terus memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika ditemui di lokasi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Katanya, proses pengecaman mayat yang ditemui berkenaan sudah dilakukan oleh ahli keluarga.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

“Pencarian mangsa yang kedua iaitu Tomansi Olaf, 17, masih dijalankan di sepanjang kawasan sungai dengan menggunakan kaedah ‘surface’ dan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

———-

Berita sebelumnya:

Dua rakan dikhuatiri lemas dihanyut arus deras

Penampang: Kegembiraan enam sekawan mandi sungai bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di sungai Kampung Pogunon, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa yang dilaporkan hilang dikenali sebagai Harold Walter dan Tomansi Olaf, masing-masing berusia 17 tahun.

Empat lagi mangsa yang terselamat turut dikatakan berdepan detik cemas apabila terperangkap di sungai berkenaan.

Difahamkan, sebelum tragedi berlaku, keenam-enam mangsa cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, ketika empat remaja sudah menyeberangi sungai, kepala air tiba-tiba meluncur deras sehingga mengakibatkan paras sungai naik mendadak.

Dua lagi mangsa yang masih berada di tengah sungai dilaporkan hanyut dan cuba diselamatkan oleh seorang daripada rakan mereka namun gagal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 petang.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap dan semua remaja berusia 17 tahun terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan,” ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, setakat ini, operasi penyelamatan dan pencarian dua lagi mangsa hilang masih dijalankan. “Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Operasi pencarian turut dibantu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan penduduk kampung.

Exit mobile version