Utama NASIONAL BORNEO Meteorologi sahkan fenomena awan bergaris di Kota Kinabalu ialah ‘garis badai’

[Video] Meteorologi sahkan fenomena awan bergaris di Kota Kinabalu ialah ‘garis badai’

KOTA KINABALU: Fenomena awan bergaris panjang di Kota Kinabalu awal pagi tadi sehingga beberapa gambar mengenainya tular di media sosial disahkan sebagai ‘garis badai’.

Menurut Pengarah Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim, garis badai yang melanda di kawasan pantai barat Sabah ialah barisan ribut petir bergerak yang panjangnya boleh mencapai sehingga ratusan kilometer dan tempoh hayat selama beberapa jam.

Katanya, garis badai menghasilkan langkisau dan hujan lebat yang dahsyat serta meluas berbanding ribut petir individu.

“Garis badai yang berlaku pada awal pagi tadi mula terbentuk di Laut China Selatan berdekatan perairan Brunei pada awal subuh dan bergerak sepanjang Pantai Barat Sabah.

“Hujan mula direkodkan di Stesen Meteorologi Labuan bermula pada jam 5 pagi dan di Stesen Meteorologi Kota Kinabalu bermula pada jam 7 pagi,” katanya ketika diminta penjelasan berhubung fenomena itu hari ini.

Tambah beliau lagi, garis badai kerap dilihat ketika monsun Barat Daya di sepanjang pantai Sabah dan Sarawak yang menghadap Laut China Selatan serta barat Semenanjung Malaysia.

“Garis badai biasanya berlaku ketika menjelang subuh dan awal pagi. Namun, garis badai kadang kala boleh terbentuk pada waktu petang dan bergerak ke daratan seiring dengan angin lazim.

“Pada hari ini, angin barat daya berkelajuan antara 20-25 knots bertiup di persisiran pantai barat Sabah. Gabungan antara keadaan atmosfera yang panas dan lembab, bayu darat serta tiupan angin barat daya yang agak kencang menggalakkan pertumbuhan awan kumulonimbus di sepanjang pantai di barat Sabah.

“Keadaan atmosfera dan angin pada hari ini merupakan kondisi yang kondusif bagi pembentukan garis badai,” katanya.

Exit mobile version