Utama DUNIA Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan UK letak jawatan

Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan UK letak jawatan

  • Kedua-duanya memaklumkan tidak boleh lagi bertahan dengan skandal yang membelenggu Perdana Menteri, Johnson sejak beberapa bulan lalu.
  • Pemimpin parti Buruh, Keir Starmer, menyifatkan peletakan jawatan itu jelas menggambarkan bahawa kerajaan sedia ada semakin goyah dan hanya menunggu roboh.
  • Pada masa sama, seorang perwakilan perdagangan kerajaan UK dan tiga pembantu menteri turut meletakkan jawatan bersama-sama seorang naib pengerusi parti Konservatif
  • LONDON: Dua anggota Kabinet pimpinan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson, meninggalkan kerajaan secara mengejut semalam, ketika pergaduhan dalaman berlaku dalam pimpinan tertinggi parti Konservatif.

Rishi Sunak melepaskan jawatan Canselor Perbendaharaan (Menteri Kewangan) UK, manakala Sajid Javid meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Kesihatan.

Kedua-duanya memaklumkan tidak boleh lagi bertahan dengan skandal yang membelenggu Johnson sejak beberapa bulan lalu.

Susulan itu, Johnson menamakan Setiausaha Pendidikan kelahiran Iraq, Nadhim Zahawi, sebagai Menteri Kewangan dan Ketua Staf Downing Street, Steve Barclay pula dilantik Menteri Kesihatan.

Pemimpin parti Buruh, Keir Starmer, menyifatkan peletakan jawatan itu jelas menggambarkan bahawa kerajaan sedia ada semakin goyah dan hanya menunggu roboh.

“Parti Tory (Konservatif) sudah dicemari rasuah dan menukar seorang individu tidak akan mengubah perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, selain turut mendesak pilihan raya umum diadakan.

Peletakan jawatan dua anggota Kabinet itu diumumkan selepas Perdana Menteri UK memohon maaf kerana melantik seorang pemimpin kanan Konservatif, Chris Pincher, yang meletakkan jawatan minggu lalu selepas didakwa meraba dua lelaki dalam keadaan mabuk.

Pihak kerajaan membuat beberapa kenyataan yang berubah-ubah dalam usaha mengalihkan perhatian bagi meredakan keadaan selepas peletakan jawatan Pincher, yang juga timbalan ketua whip.

Downing Street pada mulanya menafikan Johnson tahu mengenai beberapa dakwaan terhadap Pincher ketika melantiknya Februari lalu.

Namun sehingga semalam, alasan itu gagal dipertahankan selepas seorang bekas penjawat awam kanan memaklumkan pada 2019 memberitahu Johnson, yang ketika itu memegang jawatan Menteri Luar, mengenai satu lagi kes membabitkan rakannya itu.

“Saya berpandangan ia adalah satu kesilapan dan saya mohon maaf. Selepas mengetahui perkara ini, ia adalah kesilapan,” kata Johnson kepada pemberita.

Pada masa sama, seorang perwakilan perdagangan kerajaan UK dan tiga pembantu menteri turut meletakkan jawatan bersama-sama seorang naib pengerusi parti Konservatif, secara langsung di televisyen.

Namun, anggota Kabinet lain termasuk Setiausaha Luar, Liz Truss dan Setiausaha Pertahanan, Ben Wallace, yang juga dua pesaing terdekat Johnson, kekal menyokongnya.

Sebelum ini, Johnson hanya menang tipis dalam usul undi tidak percaya dalam kalangan Ahli Parlimen Konservatif terhadapnya sebulan lalu, dan khabar angin mengatakan Perlembagaan parti mungkin dipinda bagi membolehkan satu lagi undian dibuat. REUTERS

Exit mobile version