Jangan menari ikut pukulan gendang luar – Mohamad - pakdin.my

  • Setiap pimpinan UMNO perlu bersikap tenang dan tidak mengikut rentak mereka yang hanya mahu melihat perpecahan dalam parti.
  • Enggan melatah dengan tuduhan dilemparkan, selain menyifatkan hanya kepimpinan dalam parti itu yang mengetahui perkara sebenar.
  • Kedudukan pembahagian kerusi antara parti dalam BN masih kekal dengan status quo.

Kepimpinan tertinggi UMNO dinasihatkan tidak ‘menari’ mengikut pukulan gendang pihak luar yang mendakwa UMNO kini berpecah kepada beberapa kem.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, berkata setiap pimpinan UMNO perlu bersikap tenang dan tidak mengikut rentak mereka yang hanya mahu melihat perpecahan dalam parti.

“Saya tak perasan pula ada banyak kem, tak ada (kem) pun. Orang nak panggil kem siapa-siapa biarlah. Asalkan kami tidak terikut-ikut dengan dakwaan itu. Bak kata orang, kita tak menari ikut apa yang mereka pukul gendang.

“Dalam ucapan saya kepada ahli dan pimpinan UMNO Kedah tadi pun ada menyebut perkara ini, mereka (pihak luar) tak tahu saya selalu jumpa dengan pemimpin parti, tak kan saya hendak uar-uarkan hari ni saya jumpa Perdana Menteri dan muat status dalam Facebook saya,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya dan pimpinan Bahagian UMNO Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sebuah portal berita berhubung kemungkinan UMNO berpecah kepada tiga kem selepas pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung tikam-menikam dalam parti Melayu itu.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebelum ini mendedahkan beberapa perkara antaranya cubaan Mohamad untuk menjatuhkan Ahmad Zahid dalam satu pertemuan dengan pemimpin lain pada Mei lalu.

Berdasarkan laporan portal berkenaan, penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA, Mujibu Abd Muis berkata, pendedahan itu mengesahkan perang saudara dalam parti Melayu terbesar itu dan bakal membentuk kem baharu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya enggan melatah dengan tuduhan dilemparkan, selain menyifatkan hanya kepimpinan dalam parti itu yang mengetahui perkara sebenar.

Sementara itu, Mohamad menasihatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) tidak lagi menyentuh soal pengagihan kerusi antara parti komponen dalam gabungan itu.

Katanya, perkara itu perlu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan setiap parti di peringkat pusat.

“Sehingga kini kedudukan pembahagian kerusi antara parti dalam BN masih kekal dengan status quo, seperti sebelum ini. Kepimpinan parti akan bentang strategi dan dari situ kita akan lihat secara keseluruhan. Kita tak mahu nanti ada pula pada peringkat bahagian yang menyatakan kita nak ambil kerusi itu dan dia nak ambil kerusi ini.

“Keadaan itu nanti akan mewujudkan perasaan tak sihat antara satu sama lain. Jika setiap parti sudah setuju di peringkat pusat, semua peringkat parti di peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menuruti apa diputuskan parti,” katanya.

BACA Juga:
Tok Mat cadang PRU15 pada Oktober atau awal November

UTAMAPOLITIKJangan menari ikut pukulan gendang luar - Mohamad

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium