[VIDEO] 33 pondok Tahfiz Madrasah Al Imaniyah musnah dijilat api - pakdin.my

KUANTAN: Sebanyak 33 pondok Tahfiz Madrasah Al Imaniyah, di Kampung Darat Sungai Ular, di sini, musnah dalam kebakaran jam 9 pagi tadi.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku berikutan pondok berkenaan tiada penghuni kerana semua pelajar sedang bercuti.

Pengetua Tahfiz Madrasah Al Imaniyah, Zaidi Malik, berkata sebanyak 33 pondok di tahfiz itu musnah sekelip mata dijilat api dan menyifatkan kejadian itu terburuk dalam 10 tahun ia beroperasi.

Zaidi berkata, ketika kebakaran berlaku, beliau dalam perjalanan ke Kelantan dan dimaklumkan mengenai perkara itu oleh penduduk kampung.

“Saya berpatah balik untuk melihat sendiri kejadian yang berlaku. Setiba di tempat kejadian, luluh hati saya melihat apa yang berlaku. Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ada hikmah di sebalik apa yang terjadi,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga penduduk Kampung Sungai Ular, Rusdi Abdul Rahman, berkata ketika kejadian, beliau berada di rumah, tidak jauh dari kawasan madrasah berkenaan.

Katanya, beliau mendengar seakan bunyi letupan dan kemudian ternampak asap tebal dari arah pusat pengajian agama itu.

“Saya segera ke situ dan mendapati beberapa pondok sedang terbakar. Cubaan memadam kebakaran gagal kerana api marak begitu cepat. Saya menghubungi bomba untuk bantuan,” katanya yang membantu menyelamatkan sebahagian barangan pelajar.

Pelajar madrasah berkenaan yang menetap di Kampung Sungai Ular, Mohd Fadlulah Ab Ghani 35, berkata ketika kejadian, beliau berada di rumah dan hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas dihubungi seorang rakan.

“Saya segera ke sana tapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sedang marak. Saya hanya mampu berdoa supaya api segera dapat dipadamkan oleh bomba dan supaya pondok lain dapat diselamatkan,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata terdapat kira-kira 100 buah pondok di madrasah itu dan 33 daripadanya musnah sepenuhnya dalam kebakaran.

Beliau berkata, bomba berdepan kesukaran untuk mengawal kebakaran ekoran kedudukan pili bomba terlalu jauh dan terpaksa menggunakan sumber air lain untuk mengawal dan memadam kebakaran.

Katanya, pondok yang diperbuat daripada kayu dan jarak kedudukan setiap pondok terlalu rapat menyumbang kepada kebakaran merebak dengan cepat.

“Difahamkan, kebakaran berpunca daripada sebuah pondok di barisan belakang. Namun, setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. Difahamkan juga, seramai 96 pelajar belajar di situ,” katanya.

UTAMABERITA 33 pondok Tahfiz Madrasah Al Imaniyah musnah dijilat api

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium