Utama NASIONAL JENAYAH / MAHKAMAH Mahathir terima RM2.6 juta daripada UKSB

Mahathir terima RM2.6 juta daripada UKSB

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar di dalam komputer riba milik saksi itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah Mahathir menerima sumbangan politik, saksi berusia 47 tahun itu menjawab: “Ya dan parti (Bersatu)”.

Saksi ke-17 itu memberitahu mahkamah sumbangan dana berkenaan dibayar melalui anak saudara Mahathir iaitu Tan Sri Rahmat Abu Bakar yang menggunakan kod nama ‘Kedahan’.

Ahmad Zaidi: Kenapa anda membuat pembayaran kepada Tan Sri Rahmat?

Tan: Saya percaya ia adalah untuk dana politik.

Ahmad Zaidi: Bahawa RM2.6 juta telah diberikan kepada Tan Sri Rahmat untuk diberi kepada Tun Mahathir, adakah itu betul, untuk dana politik?

Tan: Betul.

Tan turut memberitahu mahkamah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin turut diberi sumbangan politik daripada UKSB melalui sahabat baik ahli politik itu, Teo Wee Cheng yang juga merupakan pengarah syarikat SHH Resources Sdn Bhd.

Dia turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa dana yang diterima Ahmad Zahid adalah dana politik.

Ahmad Zaidi: Adakah anda melihat Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin di mahkamah di sebelah Datuk Seri Zahid?

Tan: Tidak.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Perbicaraan berlangsung di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

Exit mobile version