Cabaran ‘syurga’ ganja di Thailand - pakdin.my

SEJAK kerajaan Thailand membenarkan penanaman dan penggunaan ganja dalam kalangan rakyatnya sejak Jun lalu, banyak produk berasaskan bahan khayal itu dijual secara terbuka di negara tersebut.

Produk minuman berasaskan tumbuhan itu boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai serbaneka.

Bukan hanya produk berasaskan ganja, malah anak pokok ganja juga dijual di tepi jalan pada harga serendah 20 hingga 100 baht (RM2.50 sehingga RM12) sepokok mengikut usia.

Penulis turut berkesempatan melihat sendiri penjualan anak pokok ganja di bandar Hatyai, Thailand yang dijual di tepi jalan.

Situasi itu sebenarnya mencetuskan kebimbangan kepada agensi keselamatan di sempadan dan komuniti negara ini.

Ia dijangka merancakkan lagi kegiatan penyeludupan ganja kering dan produk berasaskan bahan khayal tersebut ke negara ini menerusi laluan darat dan laut selain dikhuatiri menjadi tempat sebilangan rakyat negara ini untuk ‘berpesta’ ganja.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad menjangkakan, penyeludup dadah warga Thailand akan mengambil kesempatan dengan menyeludup bahan itu ke negara ini ekoran permintaan masih tinggi.

“Nilai harga ganja akan menurun di Thailand ekoran penawaran tinggi apabila semua rakyatnya boleh mendapatkan sumber tersebut secara sah tanpa sekatan,” katanya.

Menurutnya, harga ganja di Thailand menurun antara RM500 hingga RM1,000 sekilogram kepada antara RM400 hingga RM500 sekilogram selepas ‘dihalalkan’ oleh kerajaan Thailand berban­ding lingkungan RM2,200 hingga RM2,500 sekilogram di pasaran Malaysia.

Selain itu, kata beliau, pihak berkuasa juga berhadapan de­ngan cabaran baharu apabila terdapat kemungkinan produk berasaskan ganja turut diseludup masuk ke negara ini.

Menurutnya, rakyat negara ini juga terdedah menjadi Casual Drugs Addicts di Thailand yang mana mereka bukan mengambil dadah ganja secara tradisional seperti merokok tetapi mengambil produk berasaskan ganja yang memberikan kesan khayal.

“Rakyat Malaysia perlu faham bahawa memasukkan dadah ke dalam diri sendiri adalah satu kesalahan jenayah berdaftar di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka juga perlu tahu bahawa jika disabitkan lebih dua kali di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama, mereka akan diambil tindakan di bawah seksyen 39C akta sama dan boleh dipenjarakan mandatori sekurang-kurangnya lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun penjara,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, pihak polis akan menggunakan kepakaran dalam pengumpulan maklumat risikan dan mengenal pasti sindiket tempatan yang mempunyai pertalian dengan kegiatan pengedaran dadah merentasi sempadan.

“Ini bukan sahaja akan melumpuhkan sindiket tempatan, malah kerjasama antarabangsa juga akan memastikan penyeludup negara jiran turut diambil tindakan sama,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Penggerak Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Perlis, Dr. Abdul Jalil Ramli berkata, masyarakat terutama yang tinggal bersempadan dengan Thailand bimbang sekiranya ganja dan produk berasaskan bahan itu terlepas ke negara ini dan menjadi barangan yang mudah untuk diperoleh.

“Apa yang membimbangkan adalah ia mendedahkan golo­ngan belia dan pelajar kepada ganja termasuk produk berasaskan bahan khayal itu,” katanya. – KOSMO

UTAMAEDITORIALCabaran ‘syurga’ ganja di Thailand

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium