Utama NASIONAL AM Kuasa menghukum, pengampunan tidak wajar diguna sewenangnya – Agong

[VIDEO] Kuasa menghukum, pengampunan tidak wajar diguna sewenangnya – Agong

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak.

Seri Paduka Baginda bertitah prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa maka titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan,” titah baginda pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang di sini hari ini 5 September 2022.

Menurut Tengku Abdullah prinsip melaksanakan keadilan dalam Islam telah difirmankan oleh Allah dan diperkukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah.

Jelas banginda menerusi firman dan hadis keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahu pun ibu bapa.

Titah baginda, ketegasan prinsip keadilan Islam turut tidak membenarkan sebarang ketidakadilan terhadap sesiapa juga termasuk kepada golongan mereka yang tidak disenangi.

“Hakikatnya undang-undang hanya memiliki satu bahasa, satu prinsip, satu hukuman dan satu aplikasi kepada sesiapa sahaja.

“Keadilan yang diamalkan tanpa memilih kasih telah berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah dan prinsip keadilan yang telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera,” titah baginda.

Exit mobile version