Utama NASIONAL NAHAS & BENCANA MBJB naik taraf pam air dalam usaha tangani banjir kilat

[VIDEO] MBJB naik taraf pam air dalam usaha tangani banjir kilat

JOHOR BAHRU — Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menaik taraf pam air dari empat unit kepada enam unit di Rumah Pam Sungai Chat, di sini, dalam usaha menangani isu banjir kilat di bandar raya berkenaan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata antara kerja yang sedang dan akan dilaksana MBJB, termasuk menambah dua unit pam berkapasiti 25 kilowatt per jam (kWj) setiap satu di tiga lagi lokasi, iaitu kawasan Surau Tambatan, Restoran Malay Village dan Jalan Kampung Mohd Amin.

“Selain itu, pembersihan sampah sarap di  perangkap sampah dan mendapan di dasar Sungai Chat serta menambah pembinaan tebatan di kawasan hulu, iaitu di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim dan kawasan pembangunan Pemaju Tanjung Nahkoda.

“Saya telah melawat beberapa tempat di (kawasan) Johor Bahru dan Iskandar Puteri yang dilanda banjir (kilat) hari ini, serta telah meminta PBT melihat semula dan mencari penyelesaian terbaik di semua kawasan tumpuan, sebagai langkah persediaan menghadapi musim banjir,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Onn Hafiz berkata kerja-kerja yang akan dilaksana Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di kawasan tadbirannya pula termasuk, melebarkan dan mendalamkan Sungai Gelang Patah oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Selain itu, (kerja lain adalah) melebarkan Sungai Senapang oleh JPS dan Jabatan Kerja Raya serta membina tembok penahan banjir di Kampung Muafakat oleh JPS,” kata beliau.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan berasingan memaklumkan, dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Johor Bahru telah ditutup setakat 8 malam tadi.

Menurut kenyataan itu, kesemua 23 mangsa yang ditempatkan di Dewanraya Gelang Patah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik itu, telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing berikutan air banjir mulai surut.

“Bagaimanapun, empat PPS masih lagi dibuka, masing-masing dua di Pontian dan Batu Pahat dengan menempatkan 193 mangsa daripada 58 keluarga.

“Dua PPS yang dibuka di Batu Pahat adalah Sekolah Agama Seri Bengkal dan SK Bintang Peserai, manakala dua lagi PPS di daerah Pontian iaitu Pusat Kokurikulum Johor, Sungai Tempayan dan Sekolah Agama Kayu Ara Pasong,” menurut kenyataan itu.

Exit mobile version