Utama NASIONAL JENAYAH / MAHKAMAH Wanita diculik ditemui mati dalam gaung

[VIDEO] Wanita diculik ditemui mati dalam gaung

Lelaki berusia lingkungan 20-an dicekup susulan disyaki terlibat dalam kes culik seorang wanita yang ditemui mati dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, pada Selasa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penculikan wanita itu di kawasan Broga, Lenggeng, pada Isnin.

“Sebelum insiden itu, pada Ahad jam 6.30 petang pengadu memaklumkan menerima mesej di aplikasi WhatsApp yang meminta sejumlah wang tebusan.

“Bertindak daripada laporan berkenaan, pihak polis menjalankan operasi khas bagi mengesan dan mencari mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.

Bagaimanapun, Dzaffir berkata pada Selasa, kira-kira 3.30 petang, Balai Polis Batu 14, Hulu Langat menerima panggilan telefon daripada orang awam yang menyatakan menjumpai satu mayat di dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan dan mayat berkenaan disahkan merupakan mangsa di dalam kes yang sedang disiasat. Ia berdasarkan kepada kad pengenalan dan dokumen-dokumen yang ditemui bersama mangsa serta pengecaman oleh ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata, dengan penemuan mayat itu polis berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan tangkapan seorang suspek lelaki berumur 20-an di kawasan Ampang.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek yang merupakan pekerja swasta itu adalah negatif.

“Suspek seterusnya direman selama 15 hari bermula 28 Sept hingga 12 Okt ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961,” katanya.

Exit mobile version