Utama PILIHAN RAYA PILIHAN RAYA UMUM 2022 Muhyiddin tak pernah beri kata dua kepada PAS, kata pemimpin Bersatu

[VIDEO] Muhyiddin tak pernah beri kata dua kepada PAS, kata pemimpin Bersatu

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin tidak pernah memberi sebarang kata dua kepada PAS sama ada perlu memilih Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris, berkata sebaliknya apa dimaksudkan Muhyiddin ketika mengulas hasil pertemuan dengan pemimpin PAS termasuk Abdul Hadi Awang Isnin lalu itu, bahawa parti itu perlu membuat membuat pendirian lebih jelas soal kerjasama dalam pilihan raya.

“Muhyiddin kata hasil perbincangan dengan presiden PAS beliau mendapat bayangan PAS akan membuat keputusan sama ada bersama Umno atau bersama PN. Itu sahaja, tak nampak beliau desak atau tekan PAS, saya tak nampak, tiada istilah kata dua.

“Muhyiddin masih lagi meraikan kehendak PAS menjayakan penyatuan ummah. Kita Bersatu tak marah PAS jumpa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa Muhyiddin tidak seharusnya menetapkan PAS perlu memilih PN atau BN bagi menghadapi PRU15.

Kata Tuan Ibrahim, parti itu mahu bekerjasama dengan Bersatu dan Umno demi “perpaduan ummah”.

Mengulas lanjut, berdasarkan kenyataan penuh Tuan Ibrahim, Razali berkata, dia tidak menganggap ia ditujukan kepada Muhyiddin sebaliknya bersifat umum susulan timbul desakan supaya PAS memilih antara Umno dan Bersatu.

“Kenyataan Tuan Ibrahim itu saya rasa beliau tak tuju kepada Muhyiddin, dia mungkin menjawab secara umum isu yang berlegar termasuk segelintir pemimpin Umno yang memberi kata dua sama ada nak dengan Bersatu atau macam mana.

“Umno pernah menuduh PAS main dua kolam, tiga kolam tetapi Bersatu tak pernah keluar keluarkan kenyataan kata PAS main dua kolam, tiga kolam,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mendakwa beliau diberi bayangan bahawa PAS akan buat keputusan muktamad, untuk memutuskan hubungan dengan Umno dalam tempoh terdekat.

Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengumumkan BN sebagai musuh utama PN pada PRU15, dengan parti komponennya perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Exit mobile version