Sumbangan untuk memastikan blog ini terus bersiaran: Maybank: 158088200693 PayPal: kidrus@gmail.com

[Video] Kapal Peronda Luar Pesisir Milik Maritim Malaysia berjaya dilancarkan ke air

Kapal Peronda Luar Pesisir yang pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya dilancarkan ke air awal pagi tadi.

Kerja-kerja melancarkan  kapal  OPV 1 itu ke air diadakan di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) di Pelabuhan Klang pada jam 5.57 pagi menggunakan sistem pelancaran ‘Air Balloon’, disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Malaysia, Puan Anis Rizana Binti Mohd Zainudin, Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Ahmad Firdaus Bin Baharudin serta ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan Urusharta Jamaah Sdn Bhd dan TH Heavy Engineering Berhad.

Turut hadir menyaksikan pelancaran itu ialah Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Bin Mat Som, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim dan barisan pengurusan tertinggi Maritim Malaysia.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Zubil Bin Mat Som berkata, selepas ini pihak THHE akan menghidupkan dan mentauliah sistem kapal, membuat ujian di laut serta menyediakan latihan kepada kru kapal selama tiga bulan sebelum majlis penyerahan kapal OPV 1 kepada Maritim Malaysia dibuat pada awal tahun 2023.

Kapal OPV 1 berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar itu berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil.

Kapal yang direkabentuk mengikut rekabentuk kapal Damen 1800 itu, berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Selepas diserahkan kepada Maritim Malaysia kelak, kapal OPV 1 dijangka akan beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali, Sarawak.

Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Bin Mat Som
Ketua Pengarah
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Exit mobile version