[VIDEO] Ahmad Zahid beri penghormatan terakhir kepada ibu angkat - pakdin.my

BAGAN DATUK  — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini hadir di sini memberikan penghormatan terakhir kepada ibu angkatnya Cheah Seoh Lian yang meninggal dunia di kediamannya di sini pada Ahad lepas.

Mendiang yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun disedari meninggal dunia di dalam biliknya ketika sedang tidur pada kira-kira pukul 11 pagi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk meluangkan masa selama kira-kira 20 minit bagi menziarah dan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang di sini.

Sebaik tiba pada kira-kira pukul 12.40 tengah hari, Ahmad Zahid segera menenangkan rakan karibnya Beh Song Wan, 60, atau ‘Bujang’ yang merupakan anak kepada mendiang.

Ahmad Zahid berkata hubungan antara beliau dan mendiang serta enam anak-anaknya amat rapat malah mereka dianggap seperti keluarganya sendiri sejak puluhan tahun lalu.

“Saya kehilangan emak angkat saya. Kali terakhir saya bertemu dengannya adalah hari kedua Tahun Baharu Cina, saya sempat makan dan berbual dengan dia,” katanya kepada media di kediaman itu hari ini.

Ahmad Zahid berkata beliau menyayangi hubungan rapat dengan keluarga berkenaan walaupun berlainan agama dan bangsa, yang dapat melambangkan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

Justeru, beliau meminta rakyat Malaysia sebagai masyarakat majmuk yang berbeza agama, bangsa dan budaya supaya menghormati antara satu sama lain demi mempertahankan keharmonian.

“Kita ikuti sunah Rasulullah S.A.W yang menghormati agama lain dan saya yakin jika keharmonian ini dapat kita pertahankan dan ditingkatkan maka silang budaya di kalangan rakyat dalam Malaysia bukan sekadar menghormati tetapi memahami agama, budaya dan bangsa berbeza.

“Ini kunci kepada keharmonian rakyat seluruh negara. Asalkan kita mempunyai pegangan yang kuat terhadap agama kita masing-masing,” katanya.

Sementara itu anak mendiang, Gina Beh Jiou Kim, 54, memberitahu kesihatan ibu mereka adalah baik dan hanya mengadu sakit perut baru-baru ini sebelum meninggal dunia.

“Mendiang ditemui dengan muka tersenyum dan dilihat tenang seolah-olah sudah mengetahui akan meninggal dunia,” katanya. Jasad Cheah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina, Batu 18, Kuala Bikam pada pukul 10 pagi.

UTAMABERITAAM Ahmad Zahid beri penghormatan terakhir kepada ibu angkat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium