1,679 murid SJKC Pulau Pinang dijangkiti HFMD, dua lagi sekolah ditutup - pakdin.my

Dua lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) termasuk sebuah sekolah yang sebelum ini hanya membabitkan kelas Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang ditutup, telah diarahkan tutup sepenuhnya berikutan penularan wabak penyakit, tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Mohd Jamil Mohamed berkata dua sekolah itu ditutup selama 10 hari selaras dengan arahan Jabatan Kesihatan Negeri yang mahu pembersihan di sekolah yang mempunyai kes HFMD dijalankan bagi mengelak penularan penyakit berkenaan di kalangan murid di situ.

“Menurut laporan yang saya terima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Sun ditutup sepenuhnya apabila tiga pelajar dikesan menghidap penyakit berkenaan manakala SJKC Phor Tay yang sebelum ini enam buah kelas membabitkan Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang ditutup sejak 7 Julai lepas, turut ditutup sepenuhnya bermula semalam.

“Langkah berkenaan diambil berikutan jumlah kes yang dicatatkan mencecah 11 kes di SJKC Phor Tay, dua buah sekolah telah ditutup sejak Selasa iaitu SJKC Shih Chung (Cawangan) (enam kes HFMD) dan Sekolah Antarabangsa Tenby. Semua sekolah terlibat terletak di daerah Timur Laut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya sembilan buah kelas di SJKC Chong Cheng di Sungai Ara turut ditutup selepas lapan murid di situ dijangkiti HFMD dan Jabatan Kesihatan Negeri sedang membuat pemantauan serta pemeriksaan di sekolah berkenaan.

Mohd Jamil berkata murid di sekolah yang ditutup berikutan penyakit HFMD tidak perlu menggantikan sesi persekolahan mereka dan semua guru yang terlibat akan mempercepat serta menggunakan budi bicara masing-masing bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat diselesaikan dalam tempoh sesi persekolahan tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah berkata sebuah lagi sekolah iaitu SJKC Chung San masih di peringkat pemeriksaan dan turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga akibat penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata secara keseluruhannya sebanyak 65 buah fasiliti ditutup sejak Januari hingga semalam dan ketika ini 20 fasiliti membabitkan 13 taska, dua tadika, sebuah pusat jagaan dan empat buah sekolah termasuk sekolah antarabangsa ditutup 10 hari bagi proses pembersihan berikutan terdapat jangkitan HFMD di premis berkenaan.

“Sehingga hari ini sebanyak 1,679 kes HFMD dilapor di Pulau Pinang sejak Januari dan semalam seorang lagi kanak-kanak dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan kerana penyakit itu menjadikan dua pesakit di hospital berkenaan serta dua lagi masih di Hospital Pulau Pinang,” katanya.

HFMD ialah satu penyakit yang disebabkan oleh virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

HFMD disebabkan oleh jangkitan virus khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

 

UTAMABERITA1,679 murid SJKC Pulau Pinang dijangkiti HFMD, dua lagi sekolah ditutup

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium