1BESTARINET AKAN DIAUDIT LAGI – KETUA AUDIT NEGARA - pakdin.my

Jabatan Audit Negara akan menjalankan audit susulan terhadap Projek Perkhidmatan 1BestariNet dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanan pelaksanaan projek itu kepada sekolah terlibat.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata keputusan itu dibuat atas permintaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berikutan banyak rungutan diterima daripada pihak sekolah dan ibu bapa termasuk berhubung kadar kelajuan Internet yang rendah.

“Ini pendapat PAC sendiri sebab 1BestariNet melibatkan satu pelaburan kerajaan yang besar. Jadi PAC mahu lihat keberkesanan pada perbelanjaan yang besar itu. Ia melibatkan banyak sekolah. Jadi hendak tengok impaknya.

“1BestariNet dilaksanakan beberapa tahun. Kita (Jabatan Audit Negara) mahu lihat berdasarkan pengauditan awal itu apakah langkah pembetulan diambil atau sedang diambil,” katanya pada sidang media selepas memberikan taklimat mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2, di Parlimen hari ini.

1BestariNet merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan bagi mengganti dan menambah baik sistem rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah dengan pelaksanaan fasa pertamanya bermula 2011 membabitkan peruntukan RM663 juta.

Projek 15 tahun itu mempunyai 3 fasa dengan kos keseluruhan RM4.077 bilion, kini memasuki fasa kedua sejak Julai 2016.

Keseluruhan projek itu menyasarkan 10,000 sekolah dilengkapi dengan akses Internet berkelajuan tinggi dan akses kepada penyelesaian pendidikan bersepadu bertaraf dunia.

Sementara itu, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata pihaknya akan melawat semua sekolah yang terlibat dengan 1BestariNet untuk meneliti sendiri aduan yang diterima.

“Saya sendiri meminta laporan dari Rompin iaitu kawasan saya tentang prestasi 1BestariNet. Daripada 52 sekolah, hampir 60% prestasi sangat rendah, manakala prestasi yang baik tidak sampai 10%,” katanya.

Ditanya sama ada PAC akan memanggil bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan projek Internet itu mula dilaksanakan ketika beliau menjadi menteri pendidikan, Arifin berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Arifin berkata pihaknya mengenal pasti dua kementerian yang perlu dipanggil segera iaitu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana ia melibatkan kepentingan rakyat susulan Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2.

“Kementerian Kesihatan (akan dipanggil) berhubung pengurusan hospital, penyelenggaran dan bekalan ubat, manakala Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berhubung subsidi minyak sawit,” katanya.

PAC MAHU AUDIT SUSULAN TERHADAP 1BESTARINET
PAC MAHU AUDIT SUSULAN TERHADAP 1BESTARINET
UTAMABERITA1BESTARINET AKAN DIAUDIT LAGI - KETUA AUDIT NEGARA

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium