26.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 23, 2021

1MDB: Apa motif serangan The Edge

1mdb-sarawak-report-delete

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan tindakan akhbar ‘The Edge’ yang disifatkan mempunyai motif tersendiri apabila menjadikan laporan isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai laporan halaman utama media tersebut.

Tindakan itu katanya, jelas menjadikan isu tersebut sebagai ‘peluru’ untuk menjatuhkan mana-mana pihak yang terlibat dengan syarikat pelaburan itu.

“Saya tak tahu kalau mereka ada agenda yang besar untuk sesuatu, saya memang tak tahu, tetapi The Edge sebagai suratkhabar bisnes dan media yang paling dihormati tidak seharusnya berbuat demikian, menyerang isu 1MDB yang kita belum tahu sama ada syarikat pelaburan betul-betul bersalah atau tidak.

“Pada saya itu adalah suatu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab, dan setiap laporan yang dikeluarkan The Edge itu mampu mempengaruhi pasaran antarabangsa,” katanya selepas program Singgah Sahur di Balai Bomba Sri Hartamas, pagi Khamis.

Menurutnya, isu itu tidak seharusnya diperbesarkan kerana siasatan terperinci sedang dan akan dilakukan lima organisasi besar terhadap syarikat pembangunan strategik itu.

“Kita kena ingat, siasatan akan dibuat oleh Bank Negara, PAC yang juga dianggotai Tony Pua, Jabatan Audit Negara, dan beberapa lagi.

“Jadi takkan kiamat pun esok kalau 1MDB tak jadi tajuk utama dalam The Edge. Pada saya bagi mereka ruang untuk selesaikan, dan akhirnya bukti akan kita ketahui juga nanti,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong sewajarnya bertanggungjawab ke atas laporan tidak tepat terhadap 1MDB dan surat tunjuk sebab telah dihantar Isnin lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Media Group, Ho Kay Tat berkata, mereka diberi tujuh hari untuk menjawab surat tunjuk tersebut tentang mengapa tindakan tidak boleh diambil kerana menyiarkan maklumat tidak tepat mengenai 1MDB sehingga menimbulkan salah faham dan kekeliruan umum.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.