25.5 C
Kuala Lumpur
Monday, January 18, 2021

1MDB: Beri ruang laksana pelan rasionalisasi hutang

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy berkata, orang ramai harus memberi `ruang untuk bernafas’ kepada syarikat itu bagi membolehkannya melaksanakan pelan rasionalisasi untuk mengurangkan hutangnya.

“Kami mahu mengurangkan hutang syarikat dengan ketara.

“Apa yang penting ialah berikan kami ruang untuk melaksanakan pelan itu dan penyiasat perlu diberikan ‘ruang untuk bernafas’ untuk merumuskan siasatan mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada Jun tahun ini, 1MDB mengemukakan pelan rasionalisasi hutang berdasarkan tiga peringkat kepada Kabinet termasuk menjual ekuiti dalam syarikat tenaga Edra Global Energy Bhd yang akan mengurangkan hutang 1MDB antara RM16 dan RM18 bilion.

Peringkat kedua adalah melaksanakan pertukaran hutang dengan ekuiti dengan syarikat pelaburan petroleum dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang akan mengurangkan hutang 1MDB sebanyak kira-kira RM16 bilion.

“Peringkat ketiga adalah penjualan ekuiti 1MDB di Bandar Malaysia bernilai kira-kira RM11 bilion,” kata Arul Kanda.

Beliau berkata pada masa yang sama, 1MDB terus komited untuk melangsaikan faedah dan hutang pokok syarikat.

Arul Kanda berkata syarikat juga akan memberi tumpuan untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam semua siasatan yang sedang dijalankan ke atas syarikat.

“Supaya jawapan dan fakta yang tepat dapat disediakan untuk membolehkan rakyat dan semua pihak berkepentingan mendapat versi sebenar yang muktamad,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.