1MDB: Bersihkan nama masing-masing – @NajibRazak - pakdin.my

najib-serah-surat-tawaran-haji-2016-350px

Kerajaan mahu semua individu yang dinamakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya membersihkan nama mereka dan memastikan tiada wang rakyat disalahgunakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mengambil serius terhadap laporan tindakan saman sivil DOJ ke atas 1MDB dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak bagi melengkapkan siasatan.

“Kerajaan tetap pandang berat atas perkara ini dan mahu supaya siapa yang dinamakan itu ambil tanggungjawab bersihkan nama mereka dan pastikan tiada wang rakyat disalahgunakan, ini prinsip kita.

“Kita harap lambat laun, akan tahu kebenarannya dan jangan terbawa-bawa dalam soal ini. Kita buat urusan kita dan serahkan mengikut proses keadilan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan surat tawaran menunaikan fardu haji Program Khas Haji Perdana Menteri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Seramai 1,100 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima surat tawaran daripada program yang ditaja oleh Yayasan 1MDB dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi 1MDB, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada 21 Julai lalu, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan memandang serius laporan DOJ dan sedia bekerjasama dengan semua pihak serta badan siasatan di peringkat antarabangsa.

Menurut Najib, kerajaan juga menggesa 1MDB memantapkan lagi kedudukannya agar bertambah mantap dan kukuh bagi membolehkan lebih banyak program sosial dilaksanakan.

“1MDB banyak menjadi celaan hari ini sehingga banyak yang lupa program sosial 1MDB, ini (Program Khas Haji) satu daripada banyak program termasuk program baik pulih rumah dibuat selama ini, tolong nelayan, wanita, belia, tolong dalam masa banjir dan sebagainya, beratus-ratus juta ringgit telah dikeluarkan,” katanya.

Jelas Najib, dana sebanyak RM10.4 juta telah dikeluarkan oleh Yayasan 1MDB untuk menaja jemaah haji dalam program berkenaan tahun ini.

“Tahun ini kita mencatatkan jumlah besar iaitu 1,100 bakal jemaah haji. Program ini bermula tahun 2011 dengan jumlah 111 orang, setakat ini kita sudah menghantar 4,611 jemaah menunaikan ibadah haji,” katanya.

Najib memberitahu, beliau terpanggil untuk melaksanakan program tajaan haji itu bagi menghargai golongan yang ikhlas berjuang di peringkat akar umbi bagi meninggikan martabat dan kesucian agama Islam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan terus melaksanakan agenda Islam berpandukan prinsip Maqasid Syariah agar Malaysia benar-benar menjadi negara Islam yang dicontohi dan dibanggakan.

Katanya, beliau juga mengutuk kejadian serangan letupan bom di perkarangan Masjid Nabawi, Madinah pada 5 Julai lalu dan mengingatkan semua pihak agar tidak mengamalkan fahaman yang keterlaluan sehingga merosakkan keamanan.

UTAMAEDITORIAL1MDB1MDB: Bersihkan nama masing-masing - @NajibRazak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium