Monday - July 26, 2021 @ 00:01
EDITORIAL1MDB1MDB: 'Siapa Kata Tidak Dijawab' - Soal Jawab Persoalan

1MDB: 'Siapa Kata Tidak Dijawab' – Soal Jawab Persoalan

1mdb-project

PERNIAGAAN KAMI

Q1. Adakah 1MDB dana kekayaan negara?

Dari semasa ke semasa, kami lihat orang ramai merujuk kepada 1MDB sebagai dana kekayaan negara. Walau bagaimanapun, hakikat sebenarnya ialah kami adalah sebuah syarikat pembangunan strategik. Secara praktikalnya, ini bermakna 1MDB adalah sebuah syarikat yang dikendalikan dan dibiayai secara bebas, tetapi keputusan pelaburannya adalah didorong oleh kepentingan ekonomi negara.

Seperti syarikat dana kekayaan negara, kami adalah milik penuh kerajaan, tetapi terdapat satu perbezaan penting di antara keduanya: syarikat dana kekayaan negara dibiayai secara langsung oleh kerajaan dan melabur bagi pihaknya. 1MDB pula meraih dana dan melabur menggunakan modalnya sendiri, dan hanya pernah menerima sebanyak RM1 juta dalam bentuk ekuiti yang disediakan oleh Kementerian Kewangan pada masa penubuhannya.

Q2. Apakah fungsi 1MDB?

1MDB diamanahkan untuk memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi mampan jangka panjang Malaysia. Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan dengan pihak pengurusan yang bebas, kami berupaya menggabungkan bantuan praktikal kerajaan dengan kepakaran sektor swasta serta modal untuk menghasilkan sesuatu yang berpotensi besar. Hasilnya, kami mempunyai keupayaan unik untuk membuka jalan, mencari peluang dan memacu pembangunan projek-projek.

Sebagai contoh; kami adalah pemaju induk untuk Tun Razak Exchange (TRX) yang bakal menjadi daerah kewangan pertama Kuala Lumpur apabila siap nanti. Tapak TRX seluas 70 ekar ini sedang dibangunkan menjadi hab kewangan bertaraf dunia, hanya beberapa minit dari Menara Berkembar Petronas. Selain itu, kami juga telah membeli dan berhasrat untuk membangunkan tanah di sekitar lapangan terbang lama Sungai Besi untuk menjadi sebuah pembangunan kegunaan bercampur urban yang kami jangkakan akan menjadi penanda aras untuk pembangunan mampan di rantau ini.

Pelaburan kami, bersama pelabur-pelabur lain dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berjaya kami kumpul dari serata dunia, akan merubah kawasan-kawasan ini menjadi daerah baru yang berkembang pesat sekaligus membuka ribuan peluang pekerjaan sepanjang proses perlaksanaannya.

Q3. Buat masa ini, di sektor manakah 1MDB beroperasi? 

Ketika ini, 1MDB memberi fokus kepada dua sektor: tenaga dan hartanah.

Perniagaan tenaga kami terdiri daripada portfolio 15 loji janakuasa dan penyahgaraman di lima buah negara, dengan kapasiti bersih penjanaan tenaga sebanyak 5594MW, menjadikan kami pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia. Fokus kami terhadap sektor ini adalah berlandaskan matlamat strategik kerajaan untuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga Malaysia, dengan kemampanan bekalan tenaga dilihat sebagai kritikal untuk mengekalkan keyakinan pelabur di samping menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam sektor hartanah pula, kami bertanggungjawab untuk beberapa projek transformasi di Malaysia. Ini termasuk TRX – yang bakal menjadi daerah kewangan pertama di Kuala Lumpur apabila siap nanti, dan Bandar Malaysia – sebuah pembangunan kegunaan bercampur baru yang berkeluasan 495 ekar di atas tapak lapangan terbang lama Sungai Besi.

Q4. Adakah 1MDB memberi sebarang sumbangan kepada ekonomi? 

Misi 1MDB adalah untuk memacu pembangunan ekonomi mampan di Malaysia dengan menjalin kerjasama strategik di peringkat global dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara serta mengambil bahagian dalam sektor-sektor strategik yang membantu memacu pembangunan sosio ekonomi negara. Sejak penubuhan kami pada 2009, kami telah membina rekod prestasi yang cemerlang dalam menarik pelabur-pelabur utama daripada pasaran kewangan antarabangsa ke Malaysia, yang bakal membawa masuk aliran modal asing ke dalam negara.

Mengambil TRX sebagai salah satu contoh; syarikat dan institusi terkemuka dari Australia, China dan Timur Tengah di samping beberapa rantau lain membuat pelaburan dalam pembangunan tersebut, yang akan memacu pertumbuhan dan membuka ribuan peluang pekerjaan di Kuala Lumpur sahaja. Sokongan mereka terhadap aktiviti pelaburan kami dan keinginan pelabur-pelabur untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah tanda minat yang semakin berkembang terhadap negara dalam ekonomi global.

Tambahan pula, sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan, memberikan impak sosio-ekonomi yang positif adalah teras kepada objektif perniagaan kami, dan kami komited untuk memberikan sumbangan yang berpanjangan kepada komuniti di mana kami beroperasi. 1MDB fokus dalam memberikan kemajuan terhadap tiga bidang utama; pendidikan, kualiti hidup dan pembangunan belia. Kami berbangga kerana lebih 2.5 juta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada pelbagai program kami termasuk biasiswa, latihan keusahawanan, sukan dan pembangunan kemahiran belia, penyediaan penjagaan kesihatan bergerak serta pembinaan infrastruktur tenaga dan air.

KEWANGAN KAMI

Q5. Bagaimana 1MDB dibiayai?

Seperti syarikat besar yang lain, kami menjana modal di pasaran hutang tempatan dan antarabangsa. Hakikat bahawa kami berjaya berbuat demikian secara konsisten mencerminkan sokongan, nama baik dan keyakinan yang diletakkan pasaran kewangan antarabangsa ke atas kami. Tambahan pula, kami telah berjaya membina beberapa perkongsian strategik dengan syarikat-syarikat pelaburan terkemuka antarabangsa, yang bakal membawa masuk pelaburan asing ke Malaysia.

Bertentangan dengan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan, kami tidak dibiayai oleh Kerajaan. Hakikatnya, dari segi pembiayaan sebenar, 1MDB hanya pernah menerima sebanyak RM1 juta dalam bentuk ekuiti daripada kerajaan, yang telah pun digunakan dengan baik untuk membina sebuah perniagaan yang kukuh yang akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Q6. Adakah 1MDB mempunyai dana yang dilaburkan di luar negara? 

Ya.

Adalah menjadi kebiasaan bagi syarikat-syarikat besar untuk melabur lebihan dana, terutamanya dalam mata wang asing, melalui pengurus/pentadbir dana antarabangsa yang berlesen dan dikawal selia serta bank-bank penjaga (custodian banks) di bawah bidang kuasa yang mematuhi amalan terbaik antarabangsa. Institusi-institusi ini mengamalkan strategi pulangan mutlak dengan matlamat utama untuk mencapai pertumbuhan modal jangka panjang dan/atau pendapatan tetap melalui pelaburan mereka. Tiada yang luarbiasa mengenai perkara ini.

Q7. Secara khususnya, adakah 1MDB mempunyai dana yang dilaburkan di Cayman Islands?

Pada 2009, 1MDB dan sebuah syarikat Arab Saudi telah menjalin usahasama untuk memudahkan kerjasama ekonomi jangka panjang di antara Malaysia dan Arab Saudi.

Sebagai sebahagian daripada usahasama ini, kami membuat pelaburan ke dalam sebuah syarikat usahasama (joint fund) dengan syarikat tersebut, yang ditubuhkan untuk membuat pelaburan ke atas projek-projek yang akan menjana manfaat kewangan dan strategik untuk kedua-dua negara. Walau bagaimanapun, disebabkan pelbagai faktor, kedua-dua pihak akhirnya memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan ini. Kesan daripada itu, pelaburan kami dalam syarikat usahasama tersebut telah ditukarkan kepada instrumen pendapatan tetap dalam bentuk nota Murabaha, yang pada dasarnya adalah sebuah pinjaman, dengan kadar faedah tahunan sebanyak 8.75%. Pinjaman ini telah dibayar sepenuhnya, pada jumlah AS$2.318 bilion dengan keuntungan sebanyak AS$488 juta, pada 2013.

Membawa pulang dana ini ke Malaysia akan mendedahkannya kepada risiko turun naik pertukaran mata wang asing, seperti yang disaksikan pada masa ini. Untuk memastikan 1MDB mengekalkan posisi kecairan yang kukuh dengan portfolio global yang pelbagai, dana ini dilaburkan dalam anak syarikat 1MDB yang didaftarkan di Cayman Islands.

Tiada yang luarbiasa tentang perkara ini dan banyak syarikat-syarikat besar telah melabur dana dalam entiti yang didaftarkan di Cayman Islands, yang merupakan salah satu bidang kuasa dana berdaftar terbesar antarabangsa, dengan Cayman Monetary Authority diakui sebagai salah satu pengawal selia pengurusan dana yang utama di dunia. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, lebih 200 syarikat Malaysia termasuk beberapa nama terkenal juga telah melaburkan dana mereka di rantau ini.

Dari segi pelaburan kami, pihak syarikat kini telah menebus semula keseluruhan dana, seperti yang diumumkan pada bulan Januari 2015. Kenyataan mengenai perkara ini boleh didapati di:

http://1mdb.com.my/bm/siaran-media/final-redemption-of-funds-from-cayman…

Q8. Adakah sebarang sebab untuk berasa bimbang terhadap kadar hutang 1MDB?

Tidak sama sekali.

Seperti mana-mana syarikat besar yang lain, 1MDB telah menjana modal di pasaran hutang antarabangsa untuk membiayai projek-projek tertentu, yang memerlukan kami untuk berbuat demikian. Kesemua hutang kami disokong oleh aset-aset yang kukuh dan jumlah keseluruhan nilai aset-aset kami melebihi nilai keseluruhan hutang-hutang kami. Tambahan pula, kami tidak pernah terlepas membuat bayaran mengikut jadual, dan kami tidak bercadang untuk berbuat demikian.

Keupayaan kami untuk menjana modal di pasaran antarabangsa secara konsisten, dan daripada pelabur yang berkualiti, mencerminkan keyakinan mereka terhadap kami. Penyenaraian perniagaan tenaga kami merupakan salah satu daripada pelan bagi mengimbangi penyata kira-kira kami.

Tambahan pula, kami terus membangunkan perniagaan hartanah kami dengan projek-projek seperti TRX, yang bakal menjadi daerah kewangan pertama Kuala Lumpur setelah siap dibina. Sepanjang tahun lepas kami telah memeterai beberapa perjanjian dengan syarikat-syarikat terkemuka dari seluruh dunia, termasuk kumpulan hartanah dan infrastruktur antarabangsa Lend Lease dan Export-Import Bank of China, yang akan membawa masuk pelaburan bernilai lebih $1.3 billion ke Malaysia.

Sementara kami terus meningkatkan nilai aset-aset hartanah kami, kami berhasrat untuk menggunakan dana tersebut bagi memacu pertumbuhan masa depan dan juga mengurangkan tahap hutang kami.

Q9. Adakah hutang 1MDB mempunyai impak terhadap penarafan negara? 

Hutang 1MDB tidak memberikan impak terhadap penarafan negara atau kestabilan kewangan negara.

Seperti yang dimaklumkan di atas, kesemua hutang kami disokong oleh aset-aset dan aliran tunai yang kukuh, dan jumlah keseluruhan aset-aset kami dengan selesa melebihi jumlah keseluruhan hutang kami. Daripada keseluruhan hutang kami, kerajaan hanya memberikan jaminan untuk RM5.8 billion, di mana kami mempunyai perlindungan faedah (interest cover) yang tinggi. Tambahan pula, oleh kerana 1MDB adalah sebuah syarikat liabiliti terhad, risiko yang ditanggung dan pendedahan terhadap hutang kepada pemegang saham kami (pihak kerajaan) adalah terhad.

Q10. Ada banyak persoalan tentang aktiviti pengumpulan dana 1MDB dan ada yang mengatakan bahawa kadar faedah yang dibayar untuk beberapa bon adalah terlalu tinggi. Apakah reaksi syarikat berkenaan perkara ini? 

Kami sedar bahawa kebimbangan telah dibangkitkan mengenai kadar faedah 5.75% yang dikenakan terhadap bon Islamik RM5 billion yang dikeluarkan 1MDB pada 2009, dan ada yang mengatakan ianya adalah terlalu tinggi. Sebagai perbandingan, sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan, Petronas telah membayar kadar faedah sebanyak 3.6% untuk sebuah bon pada masa yang sama. Ini adalah perbandingan yang tidak adil dan tidak mengambil kira beberapa faktor penting.

Apabila melanggan sesuatu bon, pemberi pinjaman akan mengambil risiko pada kadar tertentu. Lebih lama tempoh pegangan, lebih tinggi risiko untuk pemegang bon. Oleh itu, bon-bon yang mempunyai tempoh matang yang lebih panjang biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi. Sepanjang pengetahuan kami, satu-satunya bon berkaitan Petronas yang dikeluarkan pada 2009 yang membawa kadar kupon 3.6% adalah untuk bon RM100 juta dengan tempoh pegangan selama hanya tiga tahun, manakala bon yang dikeluarkan oleh 1MDB mempunyai tempoh sepanjang 30 tahun. Oleh itu, dengan tempoh matang yang sangat jauh berbeza, tidaklah mengejutkan jika bon yang diterbitkan 1MDB mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi.

Secara umumnya, adalah penting untuk dinyatakan bahawa bon yang dikeluarkan oleh 1MDB pada 2009 merupakan bon pertama Malaysia dengan tempoh pegangan selama 30 tahun, dan juga merupakan bon Islamik pertama yang dikeluarkan dengan tempoh matang sepanjang itu. Dengan keadaan ekonomi pada ketika itu, hakikat bahawa 1MDB berjaya mengumpul dana sebesar ini di pasaran kewangan antarabangsa mencerminkan sokongan, nama baik dan keyakinan yang diletakkan terhadap syarikat.

Q11. Ada juga dakwaan bahawa fi dan komisen yang dibayar oleh 1MDB adalah terlampau tinggi dan dalam beberapa kes, pembayaran mungkin dibuat kepada ‘orang tengah’. Apakah maklum balas 1MDB mengenai isu ini?

Kami memandang serius spekulasi tidak berasas bahawa sebahagian daripada kadar faedah untuk bon Islamik yang diterbitkan oleh 1MDB pada 2009 telah dibayar kepada ‘orang tengah’. Ini adalah tuduhan yang serius, dan kami ingin menjelaskan bahawa keseluruhan 5.75% kadar faedah tahunan tersebut adalah dibayar kepada para pemegang bon, yang antaranya terdiri daripada institusi-institusi terulung di Malaysia, dua kali setahun mengikut jadual pembayaran. Untuk mengatakan sebaliknya atau menyindir bahawa sebahagian daripada jumlah ini dibayar kepada ‘orang tengah’ adalah secara faktanya tidak benar.

Kebimbangan juga ditimbulkan mengenai komisen dan fi yang ditanggung oleh 1MDB untuk dua terbitan hutang tambahan pada 2012 dan 2013, masing-masing untuk US$1.75 billion dan US$3.0 billion. Bon-bon ini diterbitkan pada kadar diskaun yang biasa bagi kebanyakan tawaran bon. Sebarang perbezaan di antara nilai par (nilai terbitan) dan hasil bersih bon terdiri daripada bukan saja fi dan perbelanjaan lain tetapi juga hasil efektifnya, yang mengambil kira diskaun dan baki tempoh pegangan bon. Ini untuk memastikan kejayaan penjanaan dana dengan wujudnya pelbagai cabaran berpunca daripada faktor-faktor dalaman dan luaran di pasaran, jangkamasa di mana tawaran tersebut disempurnakan, dan juga saiz penajaan jamin (underwriting) berkenaan.

Kedua-dua terbitan hutang adalah dikawal selia sepenuhnya oleh Goldman Sachs, satu daripada sebilangan kecil bank dengan keupayaan untuk mengawal selia terbitan hutang bersaiz dan berskala seperti ini. Kami juga memandang serius sindiran bahawa pihak bank mungkin membuat bayaran kepada pihak ketiga. Tuduhan ini kami nafikan sekeras-kerasnya.  Sepertimana yang telah nyatakan secara terbuka oleh Goldman Sachs:
“Selain daripada firma guaman dan perakaunan yang memberikan khidmat profesional, tiada fi atau komisen dibayar oleh 1MDB atau Goldman Sachs kepada pihak luar ketiga berkaitan dengan transaksi ini, dan kami juga tidak pernah diarah oleh 1MDB atau pihak lain untuk membayar fi atau komisen yang sepertinya.”

Q12. Ada yang mendakwa bahawa 1MDB hanya memperolehi keuntungan disebabkan oleh nilaian semula portfolio asetnya. Adakah ini benar? 

Seperti yang ditunjukkan dalam penyata kewangan yang kami kemukakan baru-baru ini, pulangan keseluruhan kami untuk tahun kewangan berakhir Mac 2014 mendapat manfaat daripada pelarasan nilai yang berpatutan berjumlah kira-kira RM896.8 juta untuk portfolio hartanah kumpulan. Ini mencerminkan pergerakan positif pasaran dalam tempoh tersebut, dan melambangkan nilai yang sedang kami hasilkan melalui tanah-tanah kami, khususnya TRX dan Bandar Malaysia.

Kami faham bahawa penilaian semula ini dan yang pernah dilakukan sebelum ini, telah digunakan sebagai bahan untuk menuduh bahawa 1MDB akan merekodkan kerugian jika tidak kerana keuntungan yang dihasilkan daripada proses ini. Jika ini benar, mereka juga perlu mengambil kira penurunan nilai pelaburan/kerugian yang ditanggung 1MDB terhadap beberapa aset tenaga yang telah pihak syarikat ambil alih, sebagai contoh.

Seseorang tidak boleh menuduh sebuah syarikat membayar rendah untuk aset-aset dan membuat penilaian semula asset-aset tersebut untuk menunjukkan keuntungan dalam keputusan kewangan mereka, dan pada masa yang sama menuduh syarikat yang sama membayar rendah untuk aset-aset lantas mencatat kerugian.

Penilaian semula, sama ada naik atau turun, bagi aset-aset yang diambil alih oleh syarikat adalah perkara biasa dan merupakan komponen standard untuk memeterai perjanjian atau membuat sebarang pembelian. Pada bila-bila masa sesebuah syarikat itu membuat perjanjian atau membuat pembelian, mereka melakukannya dengan persetujuan – berdasarkan nasihat pakar dan penasihat yang mengkhusus dalam bidang berkenaan – bahawa aset-aset yang dipersoalkan tersebut mempunyai nilai jangka panjang yang menarik.

Dalam beberapa kes, sesebuah syarikat akan membeli sesebuah aset dan menambah nilai ke atasnya, sekaligus meningkatkan nilai keseluruhannya. Sebagai contoh, sekiranya sebuah syarikat membeli sebidang tanah yang kosong dan kemudian membangunkannya, nilai tanah tersebut akan meningkat. Inilah yang telah berlaku dalam pelaburan kami terhadap tanah-tanah yang akan digunakan untuk TRX dan Bandar Malaysia.

PROJEK – PROJEK KAMI & PORTFOLIO ASET – ASET

Q13. Beberapa laporan mengatakan bahawa loji-loji tenaga yang dibeli oleh 1MDB telah hampir sampai ke penghujung hayatnya dan boleh diambil alih secara percuma. Adakah 1MDB terlebih bayar untuk aset-aset tenaganya?

Seperti perniagaan lain, kami hanya membeli aset-aset apabila kami yakin bahawa ianya mempunyai nilai yang menarik.

Sejajar dengan sasaran strategik kerajaan untuk menjamin kesinambungan bekalan tenaga Malaysia, kami telah membeli beberapa aset tenaga sejak 2012. Pembelian ini telah membolehkan kami untuk mempelbagaikan campuran bahan api dan risiko negara, selain mendapat manfaat daripada aliran tunai yang sihat serta kepakaran pihak pengurusan yang unggul.

Dakwaan-dakwaan berkaitan jumlah yang kami bayar untuk aset-aset tenaga kami berkisar tentang nilai yang dikaitkan dengan aset-aset berkenaan pada masa ianya dibeli dan berdasarkan andaian tertentu yang dibuat oleh pihak luar. Walau bagaimanapun, kami memandang jauh dan mengambil kira sinergi yang lebih meluas untuk kumpulan, di samping impak sosial dan ekonomi kepada negara, ketika membuat penilaian terhadap aset-aset tersebut serta ramalan pulangan ekonomi. Oleh itu, kami percaya bahawa nilai yang kami bayar – yang mungkin melibatkan pembayaran yang premium dalam keadaan tertentu, seperti yang biasa ketika membeli perniagaan lain – adalah berpatutan dengan potensi semasa dan masa depan aset-aset tersebut.

Secara khusunya, penting untuk dinyatakan bahawa kami memperoleh aset tenaga kami yang pertama pada 2012, dan telah berkembang menjadi pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia dengan status yang kukuh di pasaran antarabangsa dalam masa tiga tahun. Secara keseluruhan, kami mempunyai gabungan kapasiti bersih berjumlah 5594MW, yang merangkumi kedua-dua loji gas dan arang batu.

Portfolio ini memberikan syarikat aliran tunai yang sihat dan membolehkan kami untuk mengambil bahagian dalam pembidaan untuk loji arang batu dan gas, iaitu dua sumber utama bahan api untuk aset penjanaan tenaga dalam pasaran yang diceburi oleh 1MDB, membolehkan kami menghasilkan nilai tambahan dan memacu pertumbuhan masa depan syarikat. Oleh itu, manfaat ekonomi yang diterima daripada aset-aset ini bermakna kami telah menebus semula sebarang nilai berlebihan yang mungkin telah dibayar pada masa pembelian tersebut.

Q14. Adakah 1MDB menerima layanan istimewa bagi tender-tender untuk projek janakuasa? 

Kedudukan kami sebagai pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia, rekod prestasi yang cemerlang dalam sector ini serta pihak pengurusan yang berpengalaman menjadikan kami pemain kompetitif dalam sebarang proses tender.

Sebarang penganugerahan mengambil kira beberapa faktor untuk dipertimbangkan bagi memastikan kesinambungan bekalan tenaga kepada pengguna: standard teknikal bidaan tersebut, rekod prestasi syarikat, harga tawaran, keperluan untuk melaksanakan projek dengan kadar segera dan jaminan bekalan tenaga serta kos keseluruhan sistem bidaan tersebut, merupakan beberapa contoh. Projek-projek yang telah dianugerahkan kepada kami, di Malaysia dan di luar negara, adalah berdasarkan asas ini.

Q15. Ada beberapa persoalan mengenai penganugerahan Projek 3B – pembinaan sebuah loji arang batu berkapasiti 2000MW di Jimah. Apakah respon 1MDB mengenai perkara ini? 

Pada awal tahun ini, konsortium bersama yang dianggotai oleh 1MDB dan Mitsui & Co, syarikat perdagangan am kedua terbesar di Jepun, telah mengambil bahagian dalam proses bidaan tender terbuka dan kompetitif untuk sebuah loji janakuasa arang batu berkapasiti 2000MW yang dikenali sebagai Projek 3B. Setelah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap pelbagai bidaan lain, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan bahawa konsortium kami telah dipilih sebagai pembida pilihan.

Selepas itu, ada yang mengatakan bahawa 1MDB menerima layanan istimewa, di mana asas kepada dakwaan ini adalah kerana bidaan kami bukanlah yang terendah. Rasional ini adalah tidak tepat kerana ia tidak mengambil kira kenyataan bahawa sebarang penganugerahan adalah berdasarkan beberapa pertimbanga lain dan bukan hanya bergantung kepada tarif.

Walaupun ada satu bidaan yang rendah sedikit berbanding bidaan yang dibentangkan oleh 1MDB, hakikatnya bidaan 1MDB merupakan yang terendah yang mematuhi syarat, dengan cadangan tarif bersepadu sebanyak 25.33 sen/kWh. Walaupun ada satu bidaan yang rendah sedikit, iaitu sebanyak 25.12 sen/kWh, cadangan tersebut tidak mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga, dan salah satunya ialah kekurangan pengalaman mereka dalam mengendalikan loji arang batu.

Seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataannya (yang boleh dibaca sepenuhnya di sini: http://www.st.gov.my/images/highlight/2014/tender/Media_Release_07032014…), Konsortium 1MDB-Mitsui telah memenangi proses bidaan “secara adil dan saksama dengan teknologi yang terbukti yang bakal meningkatkan jaminan bekalan tenaga seperti yang dijangkakan daripada stesen janakuasa arang batu berkapasiti 2000MW yang beroperasi di dalam sistem grid sebesar kita”.

Ia juga penting untuk dinyatakan bahawa ada beberapa tender yang telah disertai 1MDB di mana kontrak telah dianugerahkan kepada pihak lain. Sebagai contoh, walaupun 1MDB menawarkan bidaan terendah untuk loji gas di Prai, sebuah syarikat lain telah dinilai sebagai menawarkan pakej keseluruhan yang lebih baik dan telah dianugerahkan kontrak berdasarkan faktor tersebut.

Q16. 1MDB telah banyak membuat perolehan tanah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apakah rasionalnya tindakan ini? 

Sebagai sebuah syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan, kami tidak membuat pelaburan hartanah biasa sepertimana yang dilakukan oleh pelabur biasa. Sebaliknya, kami membuat keputusan berkaitan hartanah kami secara terancang dan strategik, dengan tujuan untuk menjana nilai dan merangsang pertumbuhan ekonomi . Ini meliputi spektrum yang luas; daripada menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk tempatan di Pulau Pinang, hinggalah kepada pembangunan sebuah daerah kewangan bertaraf dunia yang baru di Kuala Lumpur.

Q17. Terdapat beberapa laporan mengatakan bahawa 1MDB telah membayar harga yang rendah bagi tanah-tanah yang diperolehinya, manakala yang lain mengatakan bahawa 1MDB telah membayar lebih untuk beberapa pembelian tanah. Mana satu yang benar?

Sebarang keputusan yang kami buat untuk melabur dalam hartanah adalah dilakukan setelah melalui tempoh usaha wajar (due diligence) yang ekstensif, termasuklah perlantikan pentaksir bebas untuk menentukan nilai tanah yang ingin kami peroleh, di samping turut mengambil kira nilai yang boleh ditambah oleh syarikat. Kesemua pelaburan kami adalah dilakukan sejajar dengan kepentingan perniagaan, dengan pandangan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta kemakmuran di Malaysia.

Dalam keadaan tertentu, tanah yang kami perolehi telah dinilai semula, dan ini telah dilakukan seiring dengan perubahan harga pasaran di kawasan sekitar, dan turut mengambil kira pelaburan yang telah kami lakukan ke atas tanah tersebut untuk menyediakannya untuk dibangunkan. Sebagai contoh; kos untuk memindahkan pangkalan TUDM dalam kes Bandar Malaysia dan kos penempatan semula penduduk dan perniagaan dalam kes TRX, serta kerja-kerja permulaan yang dilakukan sebelum kerja-kerja tanah dan pembinaan, kos bagi perancangan/pelan induk dan mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

Q18. Adakah 1MDB telah membayar terlalu tinggi untuk tanah yang dibeli di Pulau Pinang?

Tanah yang kami beli di Pulau Pinang terletak di tengah-tengah bandar Air Itam, sebuah kawasan yang mendapat permintaan tinggi di mana harga hartanah telah menampakkan kenaikan yang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tambahan pula, saiz tanah tersebut memenuhi syarat-syarat kami dan membolehkan kami untuk membina hampir 10,000 rumah mampu milik, dengan baki tanah – yang bersaiz besar – digunakan untuk tujuan pembangunan lain yang kami jangkakan bakal menjana nilai yang signifikan. Oleh itu, kami yakin dapat menambah nilai keseluruhan tanah ini, dan percaya bahawa harga yang kami bayar setimpal dengan situasi ini.

Ini dicerminkan dalam harga yang dibayar pemaju-pemaju lain untuk membeli tanah di kawasan sekitar di mana pada harga RM200 sekaki persegi, adalah sangat tinggi berbanding apa yang kami bayar. Sebagai contoh, pada tahun 2013, lebih kurang 9.8 hektar tanah di Air Itam telah dibeli pada harga RM267.4 juta, iaitu kira-kira RM251 sekaki persegi, untuk pembangunan kegunaan bercampur.

Q19. Bukankah 1MDB sepatutnya memberi fokus kepada usaha-usaha yang menguntungkan dan bukannya membina rumah mampu milik dengan pulangan yang rendah?

Sebagai syarikat milik kerajaan, mendapatkan untung maksimum bukanlah objektif tunggal dalam menjalankan sebarang projek, dan keputusan pelaburan kami adalah dibuat dengan pandangan untuk memacu pertumbuhan ekonomi kawasan setempat.

Berkenaan projek di Pulau Pinang, disebabkan kenaikan harga hartanah di sana sejak kebelakangan ini yang menyekat masyarakat tempatan daripada membeli rumah, kami mengumumkan hasrat kami untuk membina hampir 10,000 rumah mampu milik. Kami percaya ini akan menjadi pemangkin untuk mengekalkan populasi rakyat tempatan di kawasan berkenaan, di samping menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk warga dan industri tempatan. Pada masa yang sama, kami berniat untuk menggunakan baki tanah yang ada untuk tujuan pembangunan yang lain, yang membolehkan kami menjana nilai yang signifikan.

Q20. 1MDB adalah pemaju induk TRX. Apakah sebenarnya yang bakal dibawa oleh projek ini? 

TRX bakal merangkumi sebuah daerah kewangan antarabangsa yang baru dan disokong oleh kediaman, premis runcit serta pusat riadah dan kebudayaan bertaraf dunia di atas tanah pegangan bebas di lokasi utama berkeluasan 70 ekar hanya beberapa minit dari Menara Berkembar Petronas.

Tahap pertama pembangunan, di mana kerja-kerja tanah hampir siap, akan menempatkan empat menara pejabat termasuk satu menara utama, sehingga lima menara kediaman, sehingga dua hotel lima bintang dan sebuah pusat membeli-belah. Ia juga akan mempunyai stesen MRT tersendiri, yang bakal menjadi stesen terbesar di Malaysia.

Daerah ini mempunyai tempoh pembangunan selama 15 hingga 20 tahun, dan akan dibina secara mengikut permintaan, dengan fasa permulaan pembinaan dijadualkan siap pada 2017.

Q21. Adakah Kuala Lumpur memerlukan daerah kewangan tersendiri?

Kuala Lumpur adalah luarbiasa berbanding bandar-bandar utama dunia di mana ianya pada masa ini tidak mempunyai daerah kewangan tersendiri. Walaupun penawaran ruang pejabat telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masih tiada ruang di bandaraya ini di mana syarikat-syarikat boleh beroperasi dalm satu lokasi fizikal yang koheren.

Ini menghadkan keupayaan Kuala Lumpur untuk menarik syarikat-syarikat terkemuka, dan merupakan salah satu faktor utama yang melambatkan kemasukan pelaburan ke bandaraya ini. TRX akan merapatkan jurang ini dan menggalakkan syarikat-syarikat terkemuka dunia untuk bertapak di Kuala Lumpur sekaligus menguatkan kedudukannya sebagai bandaraya global pilihan.

Q22. Apakah perkembangan terkini TRX?

Kami secara berterusan mencapai kemajuan yang pesat dengan TRX, baik dari segi kerja-kerja tanah yang sedang berjalan dan hampir siap di tapak pembinaan, mahupun menarik minat rakan usahasama dan pelabur-pelabur dari Malaysia dan serata dunia.

Pada awal tahun ini, kami mengumumkan bahawa kami bakal memeterai perjanjian dengan Lend Lease – salah satu kumpulan hartanah dan infrastruktur yang terkemuka di dunia – untuk bersama-sama membangunkan Lifestyle Quarter di TRX yang dijangka menarik sehingga RM3.2 bilion (US$1 bilion) dalam pelaburan langsung asing ke Malaysia. Kami juga bakal memeterai perjanjian dengan Export-Import Bank of China untuk bersama-sama membangunkan Menara Utama di TRX, di mana bank tersebut dijangka menyumbang sehingga RM900 juta (US$300 juta) untuk pembangunannya. Baru-baru ini, kami menandatangani perjanjian konsesi selama 20 tahun dengan Veolia Water Technologies Southeast Asia untuk rawatan air sisa dan bekalan air kitar semula di TRX , yang bakal menjadi komponen utama rangka kerja kelestarian TRX.

Memandang ke hadapan, kami telah memulakan proses tender untuk peringkat kerja seterusnya yang akan merangkumi kerja-kerja jalan raya dan terowong-terowong untuk menyokong infrastruktur utama, dan sedang berbincang dengan beberapa pihak mengenai bahagian-bahagian lain pembangunan ini.  Kami berharap untuk membuat pengumuman mengenai perkara ini dalam masa akan datang.

Berkaitan:

1 COMMENT

  1. Hello,
    Ini adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa Puan, BRENDA HARAPAN pemberi pinjaman pinjaman peribadi mempunyai membuka peluang kewangan untuk semua orang yang memerlukan apa-apa bantuan kewangan. Kami memberi pinjaman pada kadar 2% kadar faedah kepada individu, syarikat dan syarikat-syarikat di bawah syarat-syarat yang jelas dan mudah difahami dan keadaan Dari
    $ 20.000 untuk $ 7000000 USD, Euro Dan Pounds Sahaja. Saya memberi Pinjaman Perniagaan,
    Pinjaman Peribadi, Pinjaman Pelajar, Pinjaman Kereta Dan Pinjaman Untuk Bayar Off Bil. hubungi kami hari ini melalui e-mel di: (brendahope816@gmail.com)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here