1MDB: Tiada Siapa Dilindungi - pakdin.my

Tiada Siapa Dilindungi Jika Dikesan Salah Laku Dalam 1MDB, Jaminan Najib Kepada Pemimpin Umno.

najib-1mdb-taklimat

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan tiada siapa yang akan dilindungi jika dikesan adanya salah laku dalam pengendalian 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri yang diberi tanggungjawab bercakap kepada wartawan selepas taklimat disampaikan Najib kepada kira-kira 160 ketua Umno bahagian berkaitan 1MDB dalam pertemuan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Ahad berkata, semua yang hadir menyokong sepenuhnya penjelasan yang diberikan Najib.

Ismail berkata, Najib memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan tidak ada sesiapa yang akan dilindungi jika berlaku penyelewengan dalam dana kerajaan.

“Ini bermakna tidak ada yang akan dilindungi oleh Perdana Menteri dan ia tidak ada apa yang kerajaan cuba lindungi. Inilah yang dijelaskan presiden dan semua ketua bahagian berpuas hati dengan penjelasan itu,” kata Ismail.

Menurut Ismail, Najib berkata, akaun 1MDB melalui forensik audit secara terperinci oleh firma Deloitte dan tidak berlaku penyalahgunaan, rasuah atau menggelapkan wang.

Najib selepas mesyuart Kabinet mengarahkan akaun 1MDB diteliti Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memastikan ia dalam keadaan teratur.

“Komitmen presiden sama seperti mana diputuskan Kabinet. Presiden juga menjelaskan bahawa kita tidak akan melindungi sesiapa pun yang dikesan salah laku membabitkan 1MDB,” katanya.

Ismail berkata, langkah tambahan dan penjelasan Najib yang juga Perdana Menteri perlu kerana adanya dakwaan dan fitnah terhadapnya berkaitan 1MDB.

Beliau berkata, Najib juga mengajak semua pihak ke arah solidariti dan memperkukuhkan Umno menjelang pemilihan parti tahun depan.

Katanya, pertemuan pada Ahad itu adalah sesuatu yang biasa dan ia dikendalikan pemimpin bahagian untuk mendengar maklumbalas presiden parti berhubung isu semasa.

Beliau berkata, ia juga menjadi sebahagian mesyuarat dua kali setahun yang dipengerusikan Najib.

Menurut Ismail lagi, dianggarkan seramai 160 ketua bahagian menerima penjelasan Najib dan tiada soalan dikemukakan. Keseluruhannya Umno mempunyai sebanyak 191 bahagian di seluruh negara.

Bagaimanapun, perjumpaan itu tidak dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin.

Ismail berkata, Mukhriz yang juga Ketua Umno Bahagian Jerlun mengiringi Sultan Kedah pada majlis yang diadakan pada Ahad.

Bagaimanapun, jelas Ismail, ketidakhadiran baki ketua bahagian kerana mereka mempunyai komitmen masing-masing dan ia tidak seharusnya disalah ertikan.

UTAMAEDITORIAL1MDB1MDB: Tiada Siapa Dilindungi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium