24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, January 22, 2021

1MDB tidak dihubungi pihak berkuasa asing untuk siasatan

1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam satu kenyataan media pada Sabtu berkata pihaknya masih belum dihubungi mana-mana pihak berkuasa asing untuk disiasat.

Menurut 1MDB, mereka kekal komited untuk memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa, tempatan atau antarabangsa bagi tujuan siasatan.

wsj, ipic n 1mdb“1MDB merujuk kenyataan Pejabat Peguam Negara Switzerland pada 29 Januari 2016 berkaitan satu siasatan yang sedang berterusan.

“Seperti dinyatakan sebelum ini, 1MDB belum dihubungi mana-mana pihak berkuasa undang-undang asing berkaitan hal syarikat ini.

“1MDB kekal komited bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang sah dan sebarang siasatan, tertakluk kepada nasihat pihak berkuasa tempatan yang relevan, dan berdasarkan protokol antarabangsa yang mendasari perkara tersebut,” kata 1MDB.

Sementara itu DAP pula mahu Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membantu pihak berkuasa Switzerland yang kini mendakwa AS$4 bilion disalahgunakan menerusi 1MDB.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, tindakan Apandi menghulurkan bantuan kepada Switzerland dalam siasatan mereka jika berlaku, akan mengikis persepsi peguam negara Malaysia dilihat berat sebelah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pihak berkuasa di Switzerland yang menyiasat 1MDB mendapati kira-kira AS$4 bilion (RM16.8 bilion) daripada syarikat Malaysia disalahgunakan, dengan sebahagiannya dipindahkan ke beberapa bank Swiss oleh pegawai dari Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu, lapor The Wall Street Journal (WSJ), hari ini.

Pejabat Peguam Negara Switzerland berkata mereka menemui 4 kes salah laku jenayah antara 2009 dan 2013 ‘menggunakan struktur kewangan yang kompleks’.

“Jumlah yang disyaki disalahgunakan ialah kira-kira AS$4 bilion,” kata akhbar itu memetik Pejabat Peguam Negara Switzerland sebagai berkata.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.