2 kelab masyarakat, 2 hotel masuk senarai tempat dikunjungi pesakit COVID-19 semasa berjangkit #pakdin.my

SINGAPURA: Dua kelab masyarakat di Yuhua dan Yew Tee serta dua hotel di Orchard and Balestier adalah antara 18 lokasi baru yang ditambah ke senarai tempat awam yang dikunjungi kes COVID-19 semasa mereka dalam keadaan berjangkit.

Beberapa pasar raya di seluruh negara juga dikunjungi kes positif semasa berjangkit. Dua hotel itu adalah Orchard Hotel dan Ramada by Wyndham Singapore di Taman Zhongshan.

Dalam kemas kini keduanya mengenai keadaan koronavirus di Singapura pada Khamis (3 Jun), MOH menyatakan mereka yang berjangkit berada di tempat-tempat itu pada masa berbeza-beza seperti dalam senarai berikut:

MOH menyatakan ia sudahpun memaklumkan mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes disahkan positif.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berada di tempat-tempat itu pada masa yang disenaraikan harus memantau kesihatan mereka dengan teliti selama dua minggu dari tarikh kunjungan mereka,” tambah MOH.

“Mereka harus segera berjumpa doktor jika mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (seperti batuk, sakit tekak dan selesema), serta demam dan kehilangan deria rasa atau bau, dan memberitahu doktor mengenai sejarah pendedahan mereka kepada virus tersebut.”

MOH menambah orang ramai juga boleh mengakses khidmat periksa sendiri padanan lokasi SafeEntry menerusi aplikasi mudah alih TraceTogether, SingPass Mobile, atau melalui lelaman https://wereyouthere.safeentry.gov.sg untuk memeriksa sama ada mereka berada di tempat-tempat itu pada waktu yang tertera, berdasarkan rekod SafeEntry mereka sendiri.

Orang ramai tidak perlu menjauhi tempat-tempat yang dikunjungi kes COVID-19, tambah kementerian itu.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memberi panduan kepada pihak pengurusan premis-premis yang terjejas mengenai kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman.

Pada Khamis, MOH melaporkan 45 kes baru COVID-19 di Singapura dengan 35 daripadanya adalah jangkitan dalam masyarakat. Baki 10 kes adalah kes import.

– TODAY/FZ/fz

Berkaitan