2013 – Isu Kepenggunaan Tarik Perhatian - pakdin.my

Kedai Rakyat 1 Malaysia
Kedai Rakyat 1 Malaysia

Tahun 2013 menyaksikan beberapa isu kepenggunaan mendapat perhatian antaranya berkaitan rasionalisasi subsidi, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), harga barang asas, tarif utiliti dan perumahan.

Berkaitan langkah rasionalisasi subsidi, berlaku kenaikan harga pada dua bahan komoditi pada tahun ini iaitu minyak petrol dan diesel serta gula.

Pada September, harga minyak RON95 dan diesel masing-masing naik 20 sen dalam program rasionalisasi subsidi yang dapat menjimatkan kerajaan daripada menanggung beban subsidi RM3.3 bilion setahun.

Berikutan pengurangan subsidi bahan bakar itu, kerajaan masih menampung subsidi untuk pengguna sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Turut termasuk dalam program rasionalisasi subsidi pada tahun ini ialah pemansuhan subsidi gula 34 sen, menjadikan harga sekilogram gula kini pada RM2.85, berbanding RM2.50 sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan pemansuhan subsidi gula itu pada pembentangan Bajet 2014 pada Oktober, memberikan justifikasi bahawa langkah itu diambil kerana kebimbangan terhadap peningkatan kes kencing manis di negara ini.

Meskipun ada yang sinis terhadap kenyataan itu, namun langkah itu sebenarnya mampu membawa penjimatan subsidi RM551.25 juta pada tahun 2014.

Turut mendapat perhatian pelaksanaan GST sebanyak enam peratus pada April 2015 yang diumumkan Najib ketika pembentangan Bajet 2014 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang mendapat tentangan daripada pihak tertentu kerana mendakwa barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih mahal.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah menjelaskan bahawa GST adalah lebih rendah kerana ia hanya mengenakan satu cukai sahaja berbanding SST yang melibatkan Cukai Jualan sebanyak 10 peratus dan Cukai Perkhidmatan enam peratus.

Sebagai langkah melindungi rakyat, kerajaan turut mengambil langkah untuk tidak mengenakan sistem percukaian itu bagi barang keperluan asas.

“GST sebenarnya bukan isu, kerana ia bukan cukai baharu yang asing sebaliknya ia langkah penyusunan semula cukai,” kata Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) Samsudin Mohamad Fauzi kepada Bernama.

Turut mendapat perhatian keputusan menyemak semula subsidi gas dan elektrik, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/KWJ, berkuat kuasa 1 Jan 2014. Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen.

Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5 sen KWJ atau peningkatan 16.9 peratus daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen KWJ kepada 34.52 sen KWJ, berkuat kuasa pada tarikh sama.

Bagaimanapun, 70.67 peratus atau 4.56 juta daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang menggunakan elektrik pada kadar 300 KWJ dan ke bawah, tidak terlibat dengan semakan itu.

Kali terakhir tarif itu disemak pada Jun 2011.

Dalam pada itu, rintihan rakyat berhubung pemilikan rumah dijawab perdana menteri dalam Bajet 2014 apabila Najib mengumumkan beberapa langkah bagi meningkatkan kemampuan rakyat membeli rumah dan memastikan harga rumah stabil, sekali gus mengekang aktiviti spekulasi yang keterlaluan.

Antaranya kerajaan dan sektor swasta akan membina 223,000 unit rumah dengan harga berpatutan sebagai usaha meningkatkan akses pemilikan rumah oleh rakyat.

Selain itu, kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome yang menawarkan subsidi RM30,000 seunit kepada setiap pemaju bagi menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana.

UTAMAEKONOMI2013 - Isu Kepenggunaan Tarik Perhatian

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium