DNA Mayat Sepadan Ibu Bapa William - pakdin.my

Ibu bapa William, Yau Kok Kang (kanan) dan Goh Ying Ying meninggalkan hospital selepas menuntut mayat anak lelaki mereka.
Ibu bapa William, Yau Kok Kang (kanan) dan Goh Ying Ying meninggalkan hospital selepas menuntut mayat anak lelaki mereka.

SUBANG JAYA: Polis mengesahkan pada Isnin bahawa mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui terapung di jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang adalah William Yau Zhen Zhong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sampel DNA yang diberikan ibu bapanya sepadan dengan spesimen yang diambil dari mayat yang ditemui pada Khamis lalu.

“Ini laporan awal tetapi sudah cukup untuk mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah William.

“Mayatnya akan dikeluarkan bagi urusan pengebumian oleh keluarganya pada Isnin,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya di sini. Beliau berkata, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kes ini.

“Keputusan bedah siasat sepenuhnya akan diketahui dalam masa dua minggu.

“Kami akan menyiasat kesemua kenyataan bercanggah diperolehi daripada ibu bapa dan ahli keluarganya,” kata Yahya.

Sementara itu, ibu bapa William tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kira-kira pukul 10.20 pagi untuk menuntut mayat tersebut.

Mereka dilihat membawa patung dan colok.

Terdahulu kira-kira pukul 9.15 pagi, upacara sembahyang dilakukan di Sungai Sireh, lokasi mayat William ditemui.

Mereka juga bertemu nelayan yang menjumpai mayat William untuk mengucapkan terima kasih.

Keluarga William akan membawa mayat tersebut ke Bukit Jelutong di Melaka di mana urusan pengebumian akan diadakan pada pukul 2 petang.

William, 6, anak kedua pasangan Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, dilaporkan hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar dari kereta untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Mayatnya ditemui tersangkut di jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh nelayan kira-kira pukul 6.30 petang Khamis lalu.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dilakukan pada Jumaat, pihak hospital tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian kerana mayatnya reput teruk.

Pada hari sama, keluarga William mengesahkan mayat tersebut adalah anak mereka berdasarkan dua parut di belakang kepala manakala satu didahi selain seluar yang dipakai William ketika dia hilang.

UTAMABERITADNA Mayat Sepadan Ibu Bapa William

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium