Pairin, Dompok, Kurup Bersatu Untuk Bantu BN Hadapi PRU-13 - pakdin.my

pairin-najibKOTA KINABALU — Tiga pemimpin Kadazandusun Murut (KDM) berjabat tangan pada satu pertemuan di sini Ahad malam sebagai tanda perpaduan antara mereka untuk membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum ke-13.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berjabat tangan dengan penuh keakraban pada majlis penyerahan barangan bernilai RM4.5 juta kepada beberapa pemimpin gereja di Sabah.

Mereka mempamerkan keazaman untuk bekerjasama bagi memastikan kemenangan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada pilihan raya itu.

“Memang sesuatu yang menarik apabila melihat ketiga-tiga pemimpin parti itu kembali bersatu demi menjayakan satu perjuangan mulia. Acara pada malam ini, penyerahan bantuan kepada gereja, merupakan petanda baik bagi kami.

“Apabila wujud perpaduan, kami yakin semuanya boleh dicapai pada masa akan datang,” kata ketiga-tiga pemimpin parti komponen BN itu.

Pairin berkata kerjasama itu dibuat tepat pada masanya dan sesuatu yang wajar dilakukan untuk mengukuhkan hubungan antara tiga parti komponen BN tersebut.

“Ini di samping usaha yang dilakukan kerajaan BN dan semoga sesuatu yang baik akan lahir daripadanya,” kata beliau.

Dompok pula berkata walaupun ketiga-tiga pemimpin itu sering bertemu ketika menjalankan tugas sebagai menteri negeri dan persekutuan, tetapi ini adalah kali pertama mereka memberi fokus terhadap perpaduan bagi mencapai matlamat bersama untuk membantu gereja di Sabah.

Katanya perpaduan akan menjadi kunci kejayaan bagi BN dalam menghadapi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Ditanya sama ada pertemuan antara ketiga-tiga pemimpin KDM itu merupakan suatu petanda baik bagi BN, Kurup berkata beliau menganggapnya demikian dan berharap kerjasama seperti itu akan diteruskan dalam program lain, termasuk dalam pengagihan benih getah kepada penduduk luar bandar.

Setiausaha agung UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau, yang mengetuai Jawatankuasa Operasi Tataba bagi membantu gereja di Sabah, berkata program itu diadakan hasil inisiatif tiga pihak berkenaan.

Katanya barangan berharga RM4.5 juta itu, yang dikumpul melalui penajaan, akan diagih kepada 12 gereja di Sabah berdasarkan keperluan anggotanya.

Gereja berkenaan ialah gereja Anglican, Roman Katholik, Gereja Kristian Basel, Sidang Injil Borneo, Calvary Charismatic Centre, Gereja Methodist Sabah, Sabah Evangelical Mission, Gereja Protestan Sabah, Grace Chapel, Sabah Baptist Association, Seventh Day Adventist dan Gereja True Jesus.

UTAMABERITASABAHPairin, Dompok, Kurup Bersatu Untuk Bantu BN Hadapi PRU-13

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium