#CerobohSabah: Situasi di Sabah Terkawal, Kekuatan Tentera Ditambah - pakdin.my

Semporna-21RAMD-Briged8-diterbangkan1
Kumpulan tambahan anggota 21 RAMD Briged 8 dari Pengkalan Chepa di hantar ke Lahad Datu

LAHAD DATU: Situasi di ketiga-tiga kawasan yang diserang oleh kumpulan bersenjata Sulu berada dalam keadaan terkawal, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Ketiga-tiga kawasan berkenaan ialah Lahad Datu, Semporna and Kunak.

“Saya juga telah memanggil Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin untuk mengukuhkan kedudukan dengan mengambil kira apa yang berlaku di tiga lokasi itu,” katanya pada sidang akhbar di Felda Sahabat kira-kira 130 kilometer dari sini.

“Mereka juga dalam keadaan bersedia untuk tindakan selanjutnya.”

Ismail turut meminta orang ramai agar jangan mempercayai khabar angin dan berita yang tidak disahkan oleh polis tentang apa yang berlaku di negeri ini.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu membuat andaian melainkan disahkan pihak berkuasa terutama jika berdasarkan laporan di media sosial dan komunikasi lain.

Ismail sekali lagi menegaskan bahawa sehingga hari ini polis tidak pernah mengeluarkan perintah berkurung kepada penduduk di negeri ini.

Zulkifeli yang turut hadir dalam sidang media itu berkata bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka, dua lagi batalion tambahan tentera dihantar hari ini dan ditempatkan di beberapa kawasan di kawasan pantai timur negeri itu.

Semporna-21RAMD-Briged8-Bantuan1
Kumpulan tambahan Angkatan Tentera siap mengawal keselamatan

Beliau berkata penduduk di Lahad Datu, Semporna dan Kunak tidak perlu risau dan boleh menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa kerana pasukan tentera dan polis bekerjasama rapat dalam meningkatkan tahap keselamatan di sana terkawal.

“Ketua Polis Negara dan saya menyusun operasi dan kami boleh mengatasi situasi ini dengan mengenakan kawalan keselamatan yang lebih ketat,” katanya.

Kumpulan bersenjata Sulu telah dikepung oleh pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, Lahad Datu ketika mereka cuba melarikan diri; sementara lima anggota polis ditembak dalam satu serangan hendap di Kampung Seri Jaya Simunul, Semporna dan 10 anggota kumpulan bersenjata dilihat memasuki Kampung Lumalong dan Kampung Dasar Lama di Kunak.

UTAMABERITASABAH#CerobohSabah: Situasi di Sabah Terkawal, Kekuatan Tentera Ditambah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium