Pembangkang Tiada Pendirian Positif Terhadap Pembangunan Dan Keselamatan Negara #CerobohSabah - pakdin.my

tianchua-lahaddatu

Sikap pembangkang berterusan membisu berhubung kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua mempolitikkan isu pencerobohan di Lahad Datu menunjukkan pembangkang langsung tidak mempunyai sebarang pendirian positif.

Sebaliknya, pembangkang dilihat hanya tahu menjayakan agenda menggoncang pegangan dan usaha kerajaan sedia ada termasuk isu keselamatan rakyat dan negara.

Ini kerana ketika seluruh negara masih meratapi kehilangan lapan wira negara dalam insiden pencerobohan militan bersenjata dari Selatan Filipina yang masuk hari ke-27 Isnin, pakatan pembangkang terus mengunci mulut biarpun kenyataan Tian Chua itu nyata mengguris hati rakyat.

Pensyarah Kanan Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Dr Ghazali Darusalam berkata tindakan pembangkang berdiam diri tanpa membantah kenyataan Tian Chua yang tidak wajar itu, adalah tindakan tidak matang dan boleh meruntuhkan semangat patriotisme rakyat.

Beliau berkata pembangkang dan sekutunya seharusnya jujur menjelaskan pendirian mereka berhubung kenyataan Tian Chua itu dan bersikap adil kepada rakyat dengan bersatu hati dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

“Lihat di negara luar, Amerika Syarikat, Britain, mereka boleh berpecah dalam isu politik, tapi dalam isu keselamatan negara, mereka bersatu dan menyokong kerajaan sedia ada,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Tian Chua diterbitkan KeadilanDaily.com pada 1 Mac lepas, bertajuk ‘Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno – Tian Chua, yang mengandungi kata-kata fitnah jahat terhadap Umno.

Dr Ghazali berkata, pakatan pembangkang sering kali menyalahkan kerajaan Barisan Nasional terutamanya dalam isu kebajikan rakyat dengan mengecam dari awal sehingga akhir dengan pelbagai kenyataan berbaur negatif.

“Namun kali ini, PKR juga sekutunya PAS dan DAP berterusan mendiamkan diri tanpa menyatakan sebarang pendirian terhadap kenyataan Tian Chua, biarpun ia jelas merupakan isu keselamatan negara yang memerlukan sokongan seluruh rakyat tanpa mengira ideologi politik,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula berkata tindakan ‘senyap’ pembangkang adalah untuk mengelakkan mereka kehilangan ‘political mileage’ meskipun mereka tidak dapat membuktikan isu pencerobohan itu adalah satu sandiwara kerajaan.

“Apabila sesuatu berita itu diterbitkan oleh pihak keselamatan negara, kebenaran sesuatu peristiwa itu sukar untuk ditolak, tiada siapa mampu mempertikai kerana pihak keselamatan negara terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sukar untuk mengeluarkan berita yang melibatkan keselamatan negara.

“Pembangkang mengatakan isu itu direncanakan dan sengaja dibuat oleh pemerintah, tetapi mereka tidak dapat memberikan bukti,” katanya.

Dr Ahmad Atory, yang turut menyifatkan pembangkang sebagai tidak matang, berkata pembangkang tidak memahami batasan politik dan pengetahuan mendalam dalam isu pertahanan negara.

“Mereka (pembangkang) dilihat akan terus mempertahan pendirian mereka dengan mengaitkan isu ceroboh dengan politik, maknanya mereka masih tidak matang dan tiada pengetahuan mendalam dalam isu pertahanan dan keselamatan negara apatah lagi dalam bidang politik antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Prof Datuk Dr Kamarudin Kachar berkata tindakan mengunci mulut dan seperti ‘lepas tangan’ pembangkang terutama dalam kalangan pemimpinnya menggambarkan seolah-olah mereka mengiyakan dan sependapat dengan Anggota Parlimen Batu itu.

Beliau berkata kredibiliti pakatan pembangkang juga boleh dipersoal kerana gagal menyatakan pendirian terhadap kenyataan biadap Tian Chua itu.

“Pembangkang sendiri sebenarnya tahu yang kenyataan yang dikeluarkan Tian Chua itu tidak benar dan hanya menjerat diri sendiri sebab itu mereka diam dan bersubahat dengannya,” katanya.

Katanya pihak kepimpinan pakatan pembangkang juga perlu bertanggungjawab terhadap tuduhan keji dan tidak logik Tian Chua itu setelah Naib Presiden PKR itu seolah-olah mahu ‘lepas tangan’ dengan enggan meminta maaf malah berdolak-dalik kononnya kenyataan beliau diputar-belit media.

Sehingga Sabtu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 205 laporan berhubung kenyataan yang dikeluarkan Tian Chua, dengan 140 percakapan dirakam dan kertas siasatan kes itu sudah dibawa kepada pihak Peguam Negara.

Insiden pencerobohan itu juga menyebabkan lapan anggota polis terkorban iaitu dua wira terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Semporna pada 2 Mac.

Seramai 54 pengganas ditembak mati sejak Op Daulat dilancarkan Selasa lepas bagi memburu saki baki penceroboh.

UTAMABERITASABAHPembangkang Tiada Pendirian Positif Terhadap Pembangunan Dan Keselamatan Negara #CerobohSabah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium