Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing: Agong Perkenan Lanjutan Masa Enam Bulan Lagi - pakdin.my

SABAH RCIKUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memperkenankan pelanjutan masa Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah selama enam bulan lagi iaitu dari 21 Mac hingga 20 September tahun ini.

Setiausaha suruhanjaya itu Datuk Saripuddin Kasim dalam kenyataan pada Rabu berkata pelanjutan masa itu bertujuan untuk menyelesaikan siasatan dan penyediaan laporan yang selaras dengan peruntukan Seksyen 5, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Beliau berkata keanggotaan dan terma rujukan suruhanjaya itu sama seperti Tauliah Penubuhan suruhanjaya yang bertarikh 21 September 2012.

Penubuhan dan pelantikan pengerusi serta anggotanya diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Ogos tahun lepas untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Jawatankuasa suruhanjaya itu diberi tempoh enam bulan untuk menyelesaikan siasatan dan mengemukakan laporan hasil siasatan serta cadangan-cadangan yang sesuai kepada Yang di-Pertuan Agong dari tarikh pelantikan anggota panelnya pada 21 September tahun lepas.

Tempoh masa itu akan tamat pada 20 Mac ini.

Pendengaran suruhanjaya itu bermula 14 Januari lepas di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di hadapan lima anggota panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Anggota panel itu juga terdiri daripada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping.

Lapan terma rujukan digariskan antaranya untuk menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan biru (IC) atau kewarganegaraan; sama ada pemberian IC biru itu atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di negeri itu menurut peruntukan undang-undang; dan sebab-sebab peningkatan populasi di Sabah.

Setakat ini 62 saksi dipanggil memberi keterangan sejak sesi pertama pendengaran yang bermula 14 Januari.

Sesi keempat yang dijadualkan pada 5 hingga 9 Mac lepas telah ditangguhkan.

Difahamkan pihak yang terlibat dalam prosiding itu akan mengadakan mesyuarat dengan anggota panel di Kota Kinabalu berhubung prosiding itu Isnin ini dan tarikh pendengaran yang ditetapkan pada 18 Mac hingga 21 Mac, ditangguhkan.

UTAMABERITASABAHSuruhanjaya Siasatan Pendatang Asing: Agong Perkenan Lanjutan Masa Enam Bulan Lagi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium